Pages

UlaNgaN iLmu....hehehe..(agar tidak lupa)

Alhamdulillah kelas malam ni berjalan dengan lancar untuk Chemistry Form 4 di Pusat Tuisyen Pakar Cawangan Pasir Hor. Ari ni aku revise kembali ke tajuk chapter 2 chemistry form 4. Yer lar, tak kan nak ajar Bab 8 kot. kat skolah, depa bab 5 belum tontu abis beljar dah. So, ari ni ngajar satu bab tuk setengah jam. lagi sejam wat latihan dan perbincangan. ala, bab 2 ni senang jer. bab 3 susah sket bagi pelajar coz banyak rumus kena ingat. So, jangan rungsing, cikgu akan pecahkan tajuk ni, ajar sket2.

Malam ni, ilmu baru ku dapat formula nak ingat sumbangan tokoh dalam penemuan struktur atom. Thanx Nani kerana berkongsi info berguna tersebut. Moga Allah mempermudahkan urusan pembelajaran nani. Serta rakan2 yang lain tak kira anda ni dari pusat tusyen yang lain. akronim yang dihasilkan adalah seperti di bawah.


Dari Tadi Ratna Baca Comic
Ayah Emak Pergi Supermarket Neutron


Kalau diterjemahkan:
D & A= Dalton jumpa Atom
T & E= Thompson jumpa Elektron
R & P= Rutherford jumpa Proton
B & S= Bohr jumpa Shell of Electron
C & N= Chadwick jumpa Neutron

So, harap, yang lain2 aka ingat formula ini. Dulu aku tak hafal, coz aku main pakai ingat jer benda ini. Huhuhuhu...semoga bertemu lagi. Bye.

UKM: 40 tahun terus menuju kecemerlangan

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan satu-satunya universiti 'kebangsaan' di Malaysia yang mendokong aspirasi perjuangan rakyat iaitu memenuhi keperluan pendidikan orang Melayu dan pembangunan Bahasa Melayu.

Penubuhan UKM dimulakan apabila Abd. Kadir Adabi mencadangkan gagasan untuk menubuhkan sebuah universiti kebangsaan di Malaysia seawal tahun 1920-an lagi. Namun, bermula tahun 1940-an dan 1950-an, Persekutuan Kesatuan Guru Melayu Semenanjung telah memperjuangkannya secara terbuka dan aktif dengan mendesak agar Bahasa Melayu mendapat tempat sewajarnya di negara ini.

Pada tahun 1969, sebuah jawatankuasa penaja telah ditubuhkan dan menerbitkan sebuah laporan yang mengesyorkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Akhirnya, syor tersebut telah diterima dan menjadi garis panduan dalam penubuhan rasmi universiti ini pada 18 Mei 1970.

Kini, pada tanggal 18 Mei 2010 (semalam) maka genaplah 40 tahun UKM bertakhta di bumi Malaysia sebagai sebuah institusi pengajian tinggi terulung dan banyak berjasa kepada bangsa dan nusa.

Secara sedar atau tidak, UKM telah melahirkan pelbagai modal insan yang membanggakan, mencipta pelbagai penyelidikan yang mengubah Malaysia dan tidak kurang juga memberi pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Walaupun usia UKM menghampiri separuh abad, namun jika dinilai melalui usia manusia, jangka masa 40 tahun adalah permulaan kepada 'keremajaan kali kedua' bagi golongan dewasa. Dalam usia ini, lazimnya manusia akan mula mendapat nama, kedudukan dan semangat baru dalam hidup.

Begitu juga bagi UKM yang kini telah mula mencipta nama bukan sahaja di persada kebangsaan, namun di pentas global. Kedudukan UKM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam juga telah mula mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara.

Oleh sebab itulah, para jentera dan penggerak kekuatan UKM yang terdiri daripada pentadbiran, ahli akademik, para pelajar dan kumpulan sokongan telah memulakan semangat baru untuk memacu imej dan kejayaan yang lebih mantap dengan bersama sederap selangkah melalui motto Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan.

Bersempena ulang tahun ke-40 UKM, masyarakat harus kembali merenung akan sejarah kelahiran universiti ini yang merupakan peristiwa bersejarah bagi Malaysia.

Ini kerana ia dibina atas keringat dan pemikiran rakyat yang mempunyai visi tentang keperluan universiti ini dalam pembangunan Bahasa Melayu.

Kejayaan demi kejayaan UKM sejak dari awal penubuhannya sehingga saat ini membuktikan kejayaan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat pengajian tinggi dan antarabangsa tidak dapat disanggah oleh sesiapapun lagi. Selamat ulang tahun ke-40 universitiku tercinta.

Tiada kemudahan cabaran utama guru

2010/05/16

MENABUR bakti dan menyemai budi di pulau terpencil kadang kala membuatkan si pendidik seolah-olah tercabar dengan keadaan persekitaran yang serba kekurangan.

Dengan sekolah diperbuat daripada papan tanpa bekalan air bersih dan cuma bergantung kepada tenaga solar, Sekolah Kebangsaan (SK) Bait, di Pulau Bait, Semporna Sabah adalah satu daripada ratusan sekolah di kawasan terpencil di Negeri Di Bawah Bayu yang mencabar kekentalan semangat dan nurani guru.
Namun, bagi Penolong Kanan 1 SK Bait, Julhasa Hamzah, 54, kekurangan dari aspek fizikal sekolah bukanlah faktor yang melemahkan semangatnya untuk terus menabur budi mendidik 152 anak nelayan di pulau itu bagi memastikan mereka bukan setakat memiliki ilmu, malah mencapai kejayaan dalam akademik buat mengubah nasib keluarga pada masa depan. "Ada 18 guru di sekolah ini, termasuk Guru Besar, Abdul Morib Omar Ali. Empat daripada guru yang ada dari Semenanjung, manakala bakinya anak jati Sabah. Kami tidak pernah menjadikan kekurangan fizikal sekolah ini sebagai tembok yang menafikan usaha kami untuk membawa 152 murid keluar daripada belenggu kemiskinan keluarga mereka.

"Insya-Allah, kami akan terus berusaha meningkatkan pencapaian akademik mereka walaupun terpaksa menempuh perjalanan sukar setiap kali berulang alik dari jeti Tanjung Kapor ke sekolah," ujarnya.

Sekolah papan yang dibina pada 1954 itu menempatkan dua blok bangunan enam bilik darjah, bilik komputer dan bilik guru. Ia adalah gedung ilmu untuk murid dari Kampung Bait, Kampung Limau-limau, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Malantak yang kebanyakan bapa mereka bergantung rezeki kepada hasil laut.

Struktur sekolah yang serba kekurangan tidak menggoyah ketabahan jiwa Ustaz Mohd Sahurin Shahabudin, 33, yang berasal dari Kampung Sungai Layar, Sungai Petani Kedah untuk sentiasa reda dengan keadaan di pulau terpencil itu.
Sejak memulakan tugas di SK Bait pada 21 September 2000, Mohd Sahurin yang pada mulanya berasa terasing di perantauan dan terpaksa pula menempuh perjalanan sukar dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke jeti Kampung Bait, kini semakin sebati dengan kehidupan sedemikian.

"Saya akui memang pada mulanya saya tidak gembira apabila ditugaskan di sini sebaik saja menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu. Pertama kali menjejakkan kaki ke dalam perahu, berasa hidup ini amat pahit. Setiap kali dilambung ombak, lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh, seolah-olah mahu letak jawatan.

"Saya memohon Kementerian Pelajaran meluluskan permohonan perpindahan isteri saya yang juga guru dari Semenanjung ke Semporna. Saya bersyukur apabila isteri saya dipindahkan ke sebuah sekolah di pekan Semporna. Sekarang, saya lebih seronok mendidik anak nelayan di pulau ini. Bagaimanapun, satu hari nanti, saya akan berpindah ke Semenanjung juga," ujar bapa tiga orang anak itu.

Bagi Ahmad Shahrizal Mat Jamaluddin, 29, tempoh perkhidmatan yang baru berusia setahun setengah di SK Bait sejurus selepas menamatkan pengajian di IPG Perlis, membuatkan beliau memahami bahawa tugas sebagai pendidik bukan setakat harus berkorban tenaga dan fikiran, malah kasih sayang terhadap isteri yang terpaksa ditinggalkan di Kuala Lumpur.

"Mengajar di pulau terpencil ini terpaksa berkorban segala-galanya. Daripada bertarung dengan ombak, hinggalah kepada kasih sayang terhadap isteri di Semenanjung. Namun, mendidik anak nelayan di pulau ini mengajar saya betapa dalam hidup ini, kita harus berbakti sesama manusia.

"Selama setahun setengah di sini, segala kesukaran itu terpaksa saya telan dengan penuh sabar. Semoga pengorbanan kami mampu membawa kejayaan dalam hidup murid yang harus mengubah kemiskinan keluarga mereka dengan ilmu pada masa depan," ujar lelaki berasal dari Parit Buntar, Perak itu.

INFO: Sekolah Kebangsaan Bait
- Kira-kira 7 batu nautika dari jeti Kampung Tanjung Kapor, Semporna Sabah
- Dibina pada 1954
- Struktur diperbuat daripada papan
- Ada 18 guru, termasuk 4 dari Semenanjung
- 152 murid
- Tiada bekalan air bersih
- Bergantung kepada tenaga solar
- Kira-kira 12 kilometer jarak dari Kampung Tanjung Kapor ke pekan Semporna

Pulau Bait
- Satu daripada 49 pulau dalam kawasan DUN Sulabayan, Semporna Sabah
- Kira-kira 300 penduduk
- Bapa murid bekerja sebagai nelayan

Pengorbanan guru

Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my
2010/05/16

Terpaksa naik perahu, meredah ombak Laut Sulawesi untuk ke sekolah

ALUNAN ombak Laut Sulawesi di celahan puluhan pulau terpencil di daerah Semporna, Sabah tidak pernah menjanjikan kebahagiaan untuk golongan pendidik dari Semenanjung atau dari wilayah lain.
Pada ketika angin dari pelbagai penjuru mengubah wajah ombak menjadi gulungan ganas menghempas perahu, mahu saja si pendidik meninggalkan pulau terpencil itu untuk pulang ke Semenanjung sambil melupakan khidmat bakti yang harus dicurahkan kepada anak nelayan. Namun, tautan tugas sebagai pendidik menuntut mereka mengetepikan desakan nurani untuk meninggalkan bumi Semporna. Kemurnian tugas mendidik anak bangsa membuatkan mereka harus tabah menghambakan diri kepada tugas meskipun hati terasa berat untuk meneruskan perjuangan membela nasib anak bangsa.

Meskipun terpaksa menempuh ombak Laut Sulawesi untuk menjejakkan kaki di Pulau Bait, kira-kira tujuh batu nautika dari tanah besar di Kampung Tanjung Kapor, Semporna, si pendidik dari pelbagai negeri di Semenanjung tidak mudah mengalah.

Walaupun terpaksa bermandi peluh dan ada ketika kuyup ditimpa hujan ketika perahu mendaki dan menuruni ombak sewaktu berulang alik ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bait di pulau kecil itu, mereka tidak mudah tewas kepada persekitaran yang mencabar minda dan fizikal.

Pulau Bait, satu daripada 49 pulau terpencil dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, tidak pernah menjanjikan jalan berturap, bangunan sekolah diperbuat daripada batu, kemudahan bekalan air bersih, bekalan tenaga elektrik dan pelbagai kemudahan lain yang ada di tanah besar, khususnya di bandar.
Setiap pagi, mulai jam 6, ketika guru di bandar selesa memandu kereta ke sekolah, guru di Pulau Bait terpaksa memperjudikan nasib kepada perahu yang dikemudi penduduk kampung ketika meninggalkan jeti Kampung Tanjung Kapor untuk ke sekolah.

Begitu juga dengan guru di SK Pababag, di Pulau Pababag yang bersebelahan dengan Pulau Bait. Mereka terpaksa menyerahkan ketentuan nasib kepada Allah SWT setiap kali menggunakan perahu dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke pulau terpencil itu.

Dengan perahu menggunakan enjin 15 kuasa kuda, si pendidik berdoa semoga perjalanan berulang alik dari Kampung Tanjung Kapor ke Pulau Bait dan Pulau Pababag sentiasa dirahmati Allah.

Kira-kira 20 minit berada dalam perut perahu ketika meredah ombak ke Pulau Bait dan Pulau Pababag tidak banyak membolehkan mereka berbual dengan rakan-rakan atau penumpang yang lain. Yang ada dalam fikiran mereka hanyalah mahu segera tiba di jeti.

Bagi Ustazah Mazwin Nasir, 27, dari Kampung Jerik, Gua Musang, Kelantan, khabar yang diterimanya pada Januari 2007 bahawa beliau akan ditugaskan di SK Bait, seolah-olah merentap nuraninya.

Pada usia pernikahan baru berusia sebulan, graduan jurusan Usuluddin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu terpaksa meninggalkan suaminya untuk terbang jauh ke Semporna dan menabur bakti di pulau terpencil.

"Saya mula bertugas di sekolah ini pada 29 Januari 2007. Pertama kali menaiki perahu, rasa macam hendak menangis. Macam tak mahu menjadi guru. Ketika itu, ombak besar. Habis kuyup saya ditimpa tempias ombak. Setibanya di jeti Kampung Bait, terpaksa mula meniti jeti kayu licin dan mendaki bukit berlumpur untuk ke sekolah.

"Pengalaman sepanjang menaiki perahu berulang alik dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke jeti Kampung Bait ada kalanya membuatkan saya seolah-olah mahu segera meninggalkan pulau ini. Namun, berkat kesabaran, saya harungi juga ombak Laut Sulawesi ini. Alhamdulillah, sekarang saya sudah biasa dengan ombak," ujarnya.

Bagi rakan serumah Ustazah Mazwin, Ustazah Nur Suhaila Mohamad, 32, dari Kampung Pangkal Kalong, Ketereh Kelantan, pertama kali menjejakkan kaki dalam perut perahu bersama Mazwin membuatkan tekak terasa loya dan kepala berpinar-pinar apabila dibuai ombak.

"Rasa nak muntah mabuk laut tetapi saya tahan juga. Sewaktu dilambung ombak, rasa macam hendak menjerit. Wajah ibu dan ayah terbayang-bayang di depan mata. Namun, inilah cabaran yang harus saya hadapi. Bukan mudah menjadi guru di pulau terpencil macam Pulau Bait," ujarnya dengan segaris senyuman.

Mazwin dan Nur Suhaila yang menyewa rumah di sebuah taman perumahan kira-kira tiga kilometer (km) ke Kampung Tanjung Kapor dan 10 km dari pekan Semporna, memperuntukkan RM60 seorang untuk berulang alik menaiki perahu ke sekolah.

Ketiadaan tenaga elektrik dan bekalan air paip di Kampung Bait tidak memungkinkan mereka menjadi sebahagian daripada kira-kira 300 penduduk kampung berkenaan.

Selepas tiga tahun menabur bakti mendidik anak nelayan di pulau terpencil itu, kini Mazwin dan Nur Suhaila tidak lagi menganggap ombak yang diharungi setiap hari sebagai bebanan besar untuk meneruskan kerjaya murni membentuk murid berilmu dan bersahsiah.

Cuma pada ketika cuti persekolahan dan Aidilfitri, mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama keluarga walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk pulang ke pangkuan keluarga.

Bagi Mazwin, suami di Bangi, Selangor harus segera ditemui pada setiap musim cuti persekolahan, manakala Nur Suhaila mahu segera menatap wajah ibu dan ayah di Ketereh.

Bagi mereka, ombak Laut Sulawesi, jeti licin di kedua-dua kampung itu, lereng bukit agak curam di laluan dari jeti Kampung Bait ke SK Bait dan titis air masin yang membasahi kulit wajah dan tubuh ketika mengharungi laut adalah teman paling setia selagi pengorbanan mereka dituntut demi masa depan anak bangsa di pulau terpencil.

Setulus cinta muaddib - istimewa sempena hari guru

Saat pertama kali kaki lelaki itu menginjak tanah desa halaman ini, kami anak-anak kariah mukim pedalaman hijau yang kekal anggun ini menerima kehadirannya dengan telapak tangan terbuka. Kami bentangkan tikar keramahan dan salam kemesraan kepadanya yang singgah bermastautin di bumi hijau redup tanah tumpah darah ini.

Kampung tercinta yang selamanya mekar sejahtera di daerah yang masih jauh dari arus kemodenan dan derap pembangunan. Tanah mekar yang dipayungi harmoni melatari wajah anak-anak penghuni yang masih dibaluti budaya tradisi dan resam moyang semalam.

Kami tidak ragu-ragu lagi menyambut perkenalan lelaki separuh usia dengan redup mata berkaca di awal kehadirannya di desa ini. Tiada secubit sangsi meladangi hati-hati kami menyambut ramah kata berbicara di pangkal lidah muhasabah yang diselangselikan dengan madah dan falsafah.

Dia lelaki ilmuwan yang amat kami sanjungi. Lunak lidahnya menutur sopan dalam pesan dan ingatan buat anak-anak muda seperti kami.

“Jauhilah leka dan lagha. Itu sifat yang dibenci Allah. Kamu anak-anak muda yang bakal mengisi masa depan bangsa”, dia khutbahkan kami syair dan madah dalam senyum berhemah. Tiada silau amarah yang menyinga kala melihat kami habisi senggang masa dengan gelak seloka di pinggir-pinggir jalan raya. Dia tahu, jiwa kami bukan boleh dipujuki dengan herdik dan hamun kata bercerca. Kami anak-anak muda yang mudah tercabar. Darah kami cepat membuak naik disergah dengan lontaran kasar dan keras nesta. Kami miliki ego tersendiri. Justeru, dia tahu bagaimana mendekati kami dengan akrab dan silaturrahim. Dia tahu bagaimana menyusun wadah kata berbunga mesra menitipi hati-hati kami yang masih kerdil dan mentah usia.

Katanya, kami anak muda yang bakal mencorakkan masa depan negara. Di tangan kami, cita-cita dan harapan watan tergenggam atau tumbang. Dia mahu kami isikan dada gersang kami dengan ilmu dan iman. Bukan membiarkan racun kefasikan dan kemungkaran bermaharajalela. Natijahnya, bangsa dan agama tergadai dihurung segala budaya dan gejala sosial.

“Rasulullah hidupkan anak-anak muda dengan semangat dan iltizam menegakkan ummah. Minda perlu diisi dengan kebenaran dan akal perlu dicambahi pengetahuan. Generasi berilmu akan membina sebuah negara bangsa yang bebas dan berdaulat”.

Kami menelingakan diri mendengar setiap patah dan kalimah dengan khusyuk jiwa. Keinsafan mudah mengalir di pangkal kalbu. Dialah guru yang amat kami sanjungi di tanah desa pedalaman ini. Lantas , kalangan kami mula memanggilnya ‘muaddib ' kerana itulah gelaran terbaik untuk seorang mualim yang menganugerahkan kami amal dan takwa. Kami dekati ajaran agama melalui kuliah dan syarah di madrasah dan masjid tua di kampung kami yang terletak di simpang jalan besar.

Guru berjanggut sejemput itu berkali-kali memesani kami supaya jangan sekali-kali menghampiri budaya songsang dan hedonisme yang mudah menakluk jiwa anak-anak muda seperti kami. Bisiknya, budaya hedonisme atau memuja hiburan duniawi yang melampau akan mereputkan akal budi dan jati diri bangsa. Kekuatan iman akan mudah lentur oleh cinta material bukan spiritual.

Tarbiah

Lalu dititipkan kepada kami selingkar kisah di zaman sirah. Nabi menghidupkan masjid dengan ukhuwah dan tarbiah. Islam menjadi mercu menyatukan dua puak berbeza resam budaya, latar geografi dan fahaman politik hingga berpadu kukuh di atas satu tunjang akidah. Ansar dan Muhajirin kekal bawah satu payung kiblat kebenaran meruntuhkan agenda palsu. Masjidlah syiarnya yang menunjangi kekuatan dan keutuhan ummah di tanah Madinah al-Munawwarah hingga lslam tersebar gagah menakluk peta dunia. Berulang-ulangkali dia pesani kami supaya menghidupkan masjid yang bertahun-tahun hambar dan tawar. Masjid hanya sekadar disemaraki wajah-wajah berusia tua yang hanya menunggu masa dijemput Tuhan ke alam lain. Masjid sekadar tugu kosong yang tersergam indah fizikal semata tetapi hilang roh kekuatan dan perpaduan.

“Anak muda yang hebat tidak akan meninggalkan masjid. Masjid perlu sentiasa makmur dengan imarah jemaah. Kekuatan agama terletak pada penyatuan saf dan barisan saat rukuk dan sujud di hadapan Tuhan. Andai masjid diabaikan, lihatlah umat hari ini. Mudah disihir anasir sumbang dan songsang yang datang dari segenap arah.”

Dia bergurindam kata melabuhkan keluh dan resah tentang institusi yang dahulunya megah dihormati kini bertukar lengang dan kesunyian. Malah, ungkapnya lagi rumah Tuhan dijadikan medan pergolakan merebut kuasa mencapai agenda peribadi.

Lalu, dengan mulus hati dia menghidang hikayat sebuah kota kelahirannya nun jauh. Masjid-masjidnya yang hebat dan disergami dengan senibina anggun kehilangan jemaah. Tarbiahnya tidak diisi dengan motivasi dan moraliti kerana masyarakatnya dibuai hiburan songsang. Maka kian melebatlah syirik dan fasik menjajahi nurani. Keruntuhan akhlak berleluasa. Pergaulan bebas dan perzinaan lumrah di mana-mana. Sumbang mahram tidak terbendungkan lagi. Akhirnya pembuangan bayi di tepi-tepi jalan dan tong-tong sampah sudah menjadi isu basi yang dibualkan di mana-mana sahaja.

Sistem kehidupan menjadi cacar marba dek kebobrokan sosial yang melanda. “Jangan sampai tanah halaman kita ini juga dibiaki wabak dosa itu. Kelak Tuhan akan turunkan bala sebagaimana di zaman Nabi Lut dan Nabi Nuh. Selagi tangan masih menadah ampun dan lidah masih mengungkap zikrullah, insya-Allah kita masih selamat dari segala azab”.

Kami akur dengan kebenaran kata-kata dari lidah muaddib yang sangat kami sanjungi. Redup matanya serta tenang jiwanya menambahkan rasa cinta dan kasih buat guru tercinta itu.

“Bagaimana kami dapat menjinakkan hati-hati kami untuk mengakrabi rumah Allah?" di kalangan kami, anak-anak muda di desa tercinta ini ada yang bangun menukil pertanyaan yang masih dibelit kemusykilan. Kami ingin robohkan kejahilan yang sekian lama meladangi minda sesudah sekian lama kontang tanpa ajaran kebenaran.

“Hidupkan rasa cinta di hati kamu terlebih dahulu. Runtuhkan godaan luar yang melalaikan. Jangan sampai arah kiblat tersasar. Hati mesti ditundukkan dengan keagungan dan kebesaran Maha Esa ".

Dia lebatkan kami petua bagaimana menjadi generasi berkualiti di tengah kekalutan sistem nilai yang makin sesat terpesong jauh. Dunia menuju ke era kemajuan dan kemodenan yang tiada batasan lagi. Anak-anak muda yang kuat jati diri tidak akan melupakan warisan tradisi dan akal budi bangsanya sendiri. Ikan yang bertahun-tahun berenang di lautan garam tidak memindahkan masin ke dalam daging dan tulang temulang. Itulah tamsil yang kerap didendangkan tatkala usrah menyusupi halwa pendengaran kami. Kami dengar dengan tulus hati. Setiap patah bicara dihiasi dengan kalimah thoyibbah dan ungkap mahmudah.

Bulan demi bulan silih berganti, berkat asuhan guru tercinta itu, kami sudah mampu membina jemaah yang terdiri daripada warga remaja dan anak-anak muda di desa kariah ini. Kami isikan senggang waktu dengan program kerohanian dan peradaban insani. Faedah dan inayahnya kami sendiri rasai. Rasa tenang dan harmoni menyusupi jiwa. Sesekali berseronok dengan hiburan bermanfaat tidak ada salahnya. Riadah, bersukan dan melayari Internet membentuk akal kematangan mengharungi seribu ujian dan cabaran semasa. Dunia hidup kami masih luas dan jauh. Masih beronak liku rintangan menanti.

Globalisasi

Bisiknya lagi, globalisasi dan dunia tanpa sempadan bukan alasan terjajah akidah dan nilai manusiawi. Menakluk ilmu kifayah dalam bidang kritikal duniawi menjadi kewajipan bangsa yang ingin berjaya di dunia dan akhirat. Balai raya separuh uzur yang lama terbiar di hujung desa, kami sama-sama baiki untuk dijadikan pusat siber. Sepuluh buah komputer dengan mesin server ditajanya sendiri dengan kos ribuan ringgit.

Di situlah pada setiap hujung minggu sesudah Asar berjemaah, kami habisi waktu melayari Internet mengutip maklumat. Peluang yang diberi membuka ruang untuk kami mengikat ukhuwah dan silaturrahim dalam sembang di laman sosial menjaja kebenaran lslam. Guru tercinta kami itulah yang memahirkan kami menekuni blog dan Facebook. Kata muaddib yang kami kasihi, “Islam tidak menghalang kemajuan. Syaidina Umar pernah berpesan supaya mendidik generasi mengikut acuan zaman. Usah kita bantutkan ajaran dengan sekatan-sekatan yang tidak berhujahkan nas-nas sebenar. Kelak kita akan terkepung oleh taklid yang jahil dan ketinggalan zaman”. Ketika ada kariah yang kurang senang dengan pendekatan yang dibawa untuk menyemai generasi, guru kami menghimbau sirah di zaman ketamadunan Nabi Sulaiman yang miliki ketamadunan luar biasa.

“Allah mengurniakan kerajaan dan peradaban teragung di bumi Palestin. Rasul berstatus maharaja ini tidak meninggalkan syariat, walau kemajuan yang dimiliki tidak terbandingkan dengan kerajaan-kerajaan lain. Bacalah intisari pengajaran dalam kalamullah surah Namlu ayat 18 hingga 26. Yakinilah kamu tamadun itu anugerah Tuhan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.”

Lalu, kami akrabkan lidah membelek helaian tafsir sirah, menukangi selingkar kisah kehebatan insan bernama Sulaiman. Kami baca dan menelaah dalam kerdil minda mengagumi ketinggian tamadun zaman silam. Tidak terucap kalbu, saat menghayati betapa tersergam istana yang berukir batu pualam di dinding dan tiang. Pintu dan kubah bersadur emas dan intan. Di laman taman bertaburan mutiara indah berkilauan menundukkan keegoan Puteri Balqis dari kerajaan Saba. Nabi pilihan yang mampu menundukkan sekalian makhluk alam.

Subhanallah! Hati-hati kami mudah tersentuh dalam kerdil jiwa dilunaki kebesaran dan kemuliaan Maha Perkasa. Detik demi detik berlalu, makin berkacalah iltizam kami untuk menggapai ilmu duniawi hingga ke peringkat tertinggi. Sesetengah daripada sahabat kami, sudah ada yang berjaya memanjat tangga menara gading di ibu kota. Kami, anak-anak muda tanah desa ini menghulurkan salam perpisahan mendoakan kesejahteraan mereka berjihad menggapai ilmu dan kemahiran. Moga-moga ada yang akan pulang untuk berbakti pada tanah desa yang masih tertinggal dari arus pembangunan dan ledakan kemajuan. Semuanya itu, berkat doa dan munajat mualim yang cukup kami segani itu.

Kepada sahabat-sahabat yang terpilih melanjutkan pengajian, guru tercinta kami memberi restu dalam tautan jari jemari mendoakan agar mereka dilimpahi kekuatan menghadapi seribu dugaan dengan kekuatan iman dan sahsiah diri.

“Jangan sesekali ada yang tewas pada permainan duniawi. Sahsiah dan akhlak perlu dijaga agar terpelihara maruah agama . Istiqamahlah hati kamu membalut diri dengan peradaban sopandan kemuliaan”.

Kami pahatkan kalbu dalam kepatuhan dengan lafaz pesan dan nasihat. Berangkatlah segelintir anak-anak muda di desa ini menuju fakulti ilmu di kota raya jauh membawa harapan melangit ayah dan bonda. Kami yang masih tinggal di desa halaman ini, terus menadah ilmu di bawah asuhan dan didikan muaddib yang tercinta. Disemainya hati kami agar tidak lupa kepada khazanah dan warisan bangsa yang berharga. Warisan yang dipusakai zaman berzaman sejak dekad silam.

“Berbanggalah kamu menuturi bahasa ibunda kita dan janganlah melupakan tulisan jawi yang menjadi akar tradisi kita. Akar yang kuat menunjang pohon bangsa yang merdeka dan berdaulat.”

Demi merealisasikan hasrat murni guru tercinta itu, kami semarakkan bahasa ibunda dengan menghidupkan amalan membaca di pustaka desa yang diubah suai menjadi gedung ilmu yang menempatkan ratusan buku-buku ilmiah serta karya-karya besar sebagai santapan minda kami. Buku-buku bertulisan rumi dan jawi dihimpunkan kepada kami sebagai makanan harian. Berkunjunglah anak-anak desa tanpa mengira usia menyemarak khutub khanah dari pagi hinggalah ke petang. Sesetengahnya pula mengakrabi pusat siber menjejak maklumat dunia di hujung jari yang terletak bersebelahan.

“Ingat firman Tuhan yang pertama di Gua Hirak dalam Surah Al-Alaq. Agama menuntut amalan membaca sebagai perisai kekuatan meroboh kejahilan”.

Kami dengar dan kami hayati sepenuh hati. Tiada secubit rasa sangsi meladangi tatkala sesi usrah di kamar madrasah menghidupkan roh keilmuan fardu ain dan kifayah. Matematik, sains, sejarah dan ilmu kemanusiaan tidak pernah sesekali diabaikan. Mursyid agung itu mahu generasi seperti kami terus-terusan mengasihi dunia keilmuan yang tiada titik hujungnya. Ulasnya, bangsa yang perkasa terletak pada nilai intelektualnya yang tinggi. Tanpa wadah ilmu, negara dan watan akan mudah terjajah oleh pengaruh-pengaruh luar yang menyesatkan.

Bertahun-tahun ikrar tulus itu melebat di pangkal atma. Anak-anak kariah yang terdidik dengan ilmu tidak mudah tergoda oleh segala anasir hitam. Kampung tercinta kami tetap sejahtera dan bahagia tanpa riak gejala sumbang dan liar yang meruntuhkan peradaban.

Salam perpisahan pun bersambut tatkala muaddib itu bakal meninggalkan daerah kecil ini setelah sekian lama menabur budi dan setanggi. Kami tumpahkan air mata menangisi pemergian seorang mualim berhati mulus. Dialah pemimpin kecil yang tetap membesar di jiwa kami. Guru yang menganugerahkan tajam akal berkarisma. Kami akur kehendak guru untuk berhijrah ke ibu kota meneruskan legasi perjuangan meruntuhkan kejahilan dan kecelaruan jiwa anak-anak muda di sana. Kota yang kian bercandu oleh ketololan manusia di dalamnya. Kota yang tidak lagi mengimbangi antara nafsu serakah dengan akhlak bersahsiah.

Setiap kali tiba purnama Mei yang berpalu gendang penghargaan dan lunak puji untuk guru bestari, setiap kali itulah kami terkenangkan muaddib yang kami sanjungi. Guru yang kerdil dan terpinggir di mata insan lain tetapi tetap agung di hati kami.

Boleh tuisyen, tapi usah abai kokurikulum

Ramai guru kini membuka pusat tuisyen sendiri. Tidakkah akan wujud konflik antara tugas hakiki untuk membimbing murid menjadi cemerlang dalam masa yang sama memastikan pusat tuisyen juga cemerlang?

MUHYIDDIN: Itu pun boleh diistilahkan sebagai beban juga. Apabila dia punya tugas ditokok lagi dengan tugasan lain walaupun di luar waktu persekolahan secara tak langsung untuk menambahkan pendapatan, maka akan ada tugas lain yang perlu dilaksanakan. Kita hendak lihat perkara ini. Mungkin akan disyaratkan berapa jam seminggu guru boleh diizinkan beri tuisyen (ini cuma pandangan peribadi saya). Saya tidak kata saya mahu menyekat sebab ini telah menjadi kebiasaan kerana kadang-kadang masyarakat pun memerlukan guru untuk membimbing anak mereka sama ada dibayar atau tidak. Tetapi yang penting dalam menentukan batasan sejauh mana difikirkan sesuai. Kadang-kadang kerana mahu mengejar tuisyen tugas di sekolah seperti mengendalikan aktiviti kokurikulum terganggu. Kita kena lihat perkara ini dengan lebih seimbang dan bukannya samar-samar.

Adakah Tan Sri melihat imbuhan bagi profesion perguruan sekarang ini mencukupi? Jika cukup mengapa trend membuka pusat tuisyen semakin menjadi-jadi?

MUHYIDDIN: Nak katakan profesion perguruan tidak diimbuh dengan gaji yang setimpal tidak juga, kerana telah ada beberapa kali keputusan yang dibuat oleh kerajaan menambah baik ganjaran kepada guru, malah guru adalah profesion yang dibayar gaji yang lumayan. Contohnya seorang guru besar dengan 1,500 hingga 1,800 murid dan tempoh waktu bekerja yang kita tahu dibayar gaji lebih tinggi daripada pegawai daerah yang jaga satu daerah, dia jaga satu sekolah saja, dan dia diberi peluang kenaikan pangkat yang tidak terbatas walaupun dia hanya guru besar atau pengetua. Kalau dikatakan bayaran tidak setimpal saya tidak setuju tetapi yang pastinya sesiapa pun akan cakap gaji tidak cukup. Mesti ada keseimbangan dari segi tugas dan imbuhan yang dibayar. Malahan di kementerian saya lebih 80 peratus bajet dibayar dalam bentuk gaji untuk guru.

Apa pandangan Tan Sri tentang dakwaan bahawa guru-guru dibebankan dengan kerja-kerja pentadbiran sehingga mengganggu tugas-tugas hakiki mereka?

MUHYIDDIN: Perkara ini memang kita telah bincangkan. Satu jawatankuasa jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran sedang mengkaji permasalahan tersebut dan hasil kajian akan diserahkan minggu depan. Dalam kajian itu kita nak pastikan apa sebenarnya tugas guru. Kalau ikut definisi biasa tugas guru adalah mendidik, mengajar. Tetapi di samping itu bagaimana pula dalam perjawatan-perjawatan lain. Biasanya ada bidang-bidang lain yang dipertanggungjawabkan kepada guru misalnya disiplin, kokurikulum, peperiksaan dan kita tahu sejak dari dulu ia telah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab guru. Jadi apabila dikatakan beban, maka kita nak tahu apa sebenarnya yang dikatakan beban, di peringkat mana kerja itu berlipat kali ganda banyaknya dari segi kuantum kerja itu sehingga menyebabkan mereka tidak mampu menjalankan tugas seperti biasa. Jadi kita hendak establish betul-betul, sebab itu apabila saya putuskan menubuhkan jawatankuasa itu ia bertujuan untuk memastikan proses P&P itu sesuatu yang dinamik, ia bukan statik. Kita juga hendak pastikan proses pembelajaran itu sentiasa ke hadapan di samping kita tahu juga kadang-kadang ada pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh sekolah, jadi guru besar atau pengetua seorang tidak mampu melaksanakannya dan memerlukan bantuan guru-guru lain atau tenaga lain di sekolah seperti kerani. Yang penting kita nak tentukan apakah bidang tugas sama ada ‘guru++’ atau guru semata-mata.

Kalau benarlah mereka terpaksa menanggung kerja yang lebih daripada sepatutnya dan dakwaan itu dapat dibuktikan berasaskan fakta, maka langkah-langkah lain boleh diambil. Misalnya boleh disediakan tenaga pentadbiran di sekolah supaya kerja-kerja pengkeranian yang terpaksa dipikul oleh guru boleh juga dikongsi oleh pembantu-pembantu tadbir di sekolah. Kalau bukan tugas hakiki sebaliknya tugas tambahan yang sewajarnya tidak ditanggung oleh guru maka mungkin kita boleh tentukan cadangan tenaga pentadbiran diwujudkan di sekolah. Di samping itu kita perlu ambil kira jika seseorang guru itu benar-benar dedikasi dan saya tahu memang ramai guru yang dedikasi mereka tidak akan melihat tugas tersebut sebagai satu beban. Istilah beban itu sesuatu yang tidak disukai, kalau dia minat walaupun tugas itu berat, saya fikir dia bersedia untuk berkorban. Konsep pengorbanan dalam profesion perguruan penting juga dan saya tahu ada guru-guru sanggup datang ke sekolah tanpa disuruh oleh guru besar untuk melaksanakan tugas membimbing pelajar terutama di kalangan sekolah berprestasi tinggi (SBT). SBT ini tiada kelebihan banding dengan sekolah-sekolah lain tetapi kelebihannya adalah dari segi kepimpinan dan komitmen guru yang jauh lebih tinggi daripada sekolah-sekolah lain. Mereka sanggup datang ke sekolah dan mengadakan tuisyen tanpa diminta oleh ibu bapa.

Sejauh mana usaha kerajaan menambah baik kursus perguruan sedia ada supaya relevan dengan tuntutan semasa?

MUHYIDDIN: Kita membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa. Hubungan antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang menyediakan program ijazah perguruan sentiasa berlangsung dengan baik kerana kita hendak pastikan latihan atau kursus perguruan yang ditawarkan di peringkat ijazah mempunyai kepakaran-kepakaran yang bersesuaian dengan keperluan masa depan. Di peringkat kita pula misalnya di Institut Pendidikan Guru, kurikulumnya sentiasa diperbaharui, lebih-lebih lagi sekarang kita dimasukkan komponen-komponen baru dalam erti kata interaksi dan pedagogi yang digunakan untuk mengajar anak-anak mesti sentiasa tepat. Bagaimanapun kita tidak berharap ia akan berubah selalu. Perubahan yang kerap akan mendatangkan masalah. Bagaimanapun perlu ada pembaharuan, transformasi dari sudut kurikulum sebagai contoh, guru-guru mesti dilatih supaya mereka faham sasaran atau matlamat berkhidmat dalam bidang perguruan tercapai.

Pesanan Tan Sri kepada semua guru?

MUHYIDDIN: Profesion guru amat mulia. Guru-guru mesti memberi sumbangan kepada anak watan dan menyifatkan tanggungjawab mereka itu sebagai sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan secara sukarela. Penting di mana guru jalankan tugas dengan rasa senang hati. Saya ingin memberitahu bahawa kerajaan iktiraf peranan guru dan menghargai sumbangan mereka. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua cikgu. Kita tahu mereka telah menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang. Kita mahu supaya mereka berikan tenaga serta masa mereka untuk menjadikan profesion guru sesuatu yang dimuliakan.

Selamat Hari Guru

Menjadikan tugas guru berkesan

MINGGUAN: Apa sebenarnya cabaran dalam profesion perguruan sekarang ini? MUHYIDDIN: Cabaran profesion perguruan tidak boleh dilihat terasing daripada cabaran lain dalam bidang pelajaran. Sebab itu sempena Hari Guru ini bukan hari untuk membicarakan soal guru sahaja.

Ucapan saya sempena Hari Guru adalah ucapan terpenting untuk menjelaskan halatuju pelajaran negara kita. Profesion perguruan pun satu perkara utama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran. Pertama, bagaimana hendak perkukuh organisasi kementerian. Dalam tempoh setahun saya lihat walaupun ada kemajuan yang telah dicapai tetapi masih ada ruang, lompang yang mesti diisi terutama dari segi kualiti, tahap keupayaan, proses yang dilakukan secara pantas dan segera, infrastruktur, cara penyampaian memenuhi falsafah pendidikan kita. Apatah lagi apabila kita bandingkan pula dengan pencapaian sistem pendidikan di negara-negara maju umpamanya Korea Selatan negara paling maju dalam bidang pelajaran, begitu juga di kalangan negara-negara membangun.

Kita boleh lihat negara-negara yang sudah maju sebagai contoh dan kita akan buat perbandingan sejauh mana Malaysia telah maju, sejauh mana sistem pendidikan kita telah maju. Kita tidak boleh menilai tahap kita dari segi penanda aras nasional sahaja. Ada mengatakan mutu pelajaran belum sampai ke tahapnya sehingga menjadi dalih untuk tidak menghantar anak ke sekolah kebangsaan kerana dikatakan mutu tidak setanding dengan sekolah swasta. Biar pun itu tanggapan dan persepsi tetapi kita tidak boleh menolak atau ketepikan. Lebih penting lagi kajian-kajian yang dijalankan mesti lebih saintifik, objektif dalam membuat penilaian. Pandangan peribadi saya masih terdapat ruang yang banyak kerana saya sendiri pernah katakan belum lagi berpuas hati walaupun telah ada kemajuan tentang di mana kedudukan bidang pelajaran di negara kita ini. Umpamanya dalam soal antara kaum pencapaian pelajar Melayu dan bukan Melayu, bandar dan luar bandar, infrastruktur yang kita sediakan dan bentuk sokongan, banyak perkara yang kita boleh bincangkan skop itu masih luas untuk diselesaikan. Kita boleh melihat kepada MEB yang hendak dilaksanakan. Maka cabaran sistem pendidikan kita lebih hebat, bukan setakat beri peluang anak-anak kita belajar tapi nak bangunkan masyarakat dan negara terutama dari segi konteks persaingan Malaysia dengan negara-negara lain di dunia. Begitu juga soal modal insan. Kalau kita tidak mampu lahirkan modal insan yang mampu bersaing dan setanding dengan masyarakat antarabangsa kita akan terkebelakang. Contohnya dalam soal penguasaan bahasa Inggeris, sains, matematik dan dalam bidang profesional yang dianggap penting. Malahan kita menghadapi masalah melahirkan modal insan dalam bidang teknikal dan vokasional. Saya pergi Perancis 50 peratus sistem pelajaran adalah vokasional, di Malaysia tak sampai lima peratus. Sedangkan kita mengarah untuk menjadi negara maju dalam bidang teknologi. Saya tidak melihat ini tugas Kementerian Pelajaran untuk menjana sumber manusia yang kita perlukan, kita mesti lihat konteks yang lebih besar. Sebab itu tugasan kita masih banyak dan ruang untuk perbaiki hampir semua bidang masih ada. Saya belum berjaya sepenuhnya, ia satu proses yang harus berterusan bukan setahun atau sepuluh tahun. Perlu ada penglibatan masyarakat, kerana masyarakat tahu apa yang mereka mahu dalam bidang pelajaran.

Di paras mana kualiti perguruan di negara kita?

MUHYIDDIN: Kalau pun kita sudah berjaya, tetapi ia satu proses berterusan. Kalau hari ini sudah baik tetapi tidak bergerak langsung maka benda yang baik pun akan tertinggal di belakang. Mesti ada proses yang berterusan untuk memastikan sistem yang ada bukan saja baik untuk hari ini tetapi juga baik untuk masa depan. Kalau kualiti guru kita baik hari ini mesti ditambah baik lagi, sasaran kita mesti semua guru ada ijazah dari peringkat pra sekolah lagi. Bukan kita kata guru tidak berijazah tak baik tetapi pastinya ijazah itu naik satu tahap lagi. Kita ada 400,000 guru, kalau baru separuh ada ijazah maknanya separuh lagi belum selesai. Sebab itu profesion perguruan mesti ada kualiti dengan adanya kepakaran dan kemahiran. Tuntutan dan cabaran profesion perguruan sememangnya semakin hari semakin meningkat.

Apakah perubahan drastik yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kualiti perguruan dalam masa terdekat?

MUHYIDDIN: Latihan, latihan dan latihan. Pastinya bukan soal guru sahaja tetapi dilengkapkan juga peralatan canggih, suasana pekerjaan kondusif. Bagaimana perguruan dimartabatkan dalam konteks suasana mengajar. Kita mesti selesaikan masalah yang dilihat kecil tetapi sebenarnya penting seperti 50 guru terpaksa bersesak dalam sebuah bilik, guru tidak ada kemudahan tempat tinggal, kuarters guru di pedalaman, kesemua itu tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Semangat guru kena dijaga sebab itu saya ambil masa panjang berbincang bagaimana nak dimartabatkan profesion perguruan, bukan gaji atau elaun sahaja yang memang diambil kira, tapi banyak perkara lagi.

Bagaimana pula langkah mengatasi masalah guru di pedalaman kerana masalah ini jika tidak diselesaikan pasti memberi kesan kepada para pelajar di kawasan tersebut?

MUHYIDDIN: Satu ketegasan yang kita buat adalah pengambilan guru-guru pada masa akan datang lebih menjurus kepada kalau ada di kawasan itu anak-anak yang berminat menjadi guru dan berkelayakan mungkin kita tidak hadapi masalah untuk menghantar mereka berkhidmat di kampung sendiri. Kadang-kadang mereka mahu menjadi guru di kawasan mereka kalau ada peluang, tetapi mesti ada syarat yang cukup. Umpamanya di Sabah dan Sarawak, kita akan ambil lebih ramai guru dari negeri-negeri itu supaya mereka dapat mengajar di negeri masing-masing. Tidak bermakna kita menolak proses integrasi tapi kadang-kadang ada keperluan untuk kita berbuat begitu. Saya tidak katakan tidak ada guru sesuai dari Semenanjung untuk mengajar di Sabah dan Sarawak. Kita kena lihat juga bentuk imbuhan supaya jadi pendorong bersedia bekerja. Kita perlu ada dasar penempatan guru yang lebih telus, maknanya kalau setiap guru mesti kena mengajar di kawasan pedalaman. Ini bukan mendera tetapi tanggungjawab iaitu apa keadaan sekalipun dia kena berkhidmat di luar bandar, sekarang ini tidak begitu. Ada guru sampai pencen mengajar di satu tempat sahaja, ada pula mengajar di luar bandar dan tidak dapat ke tempat lain. Setiap guru ada peranan membimbing anak bandar dan luar bandar. Mereka tidak boleh menolak atau anggap penderaan dihantar ke kawasan luar bandar. Menerusi dasar penempatan yang lebih jelas, sistem pemantauan dan rekod perkhidmatan guru tidak akan ada guru yang rasa kebal untuk berkhidmat hanya di satu kawasan sahaja.

Profesion guru kini dilihat memperoleh imbuhan lumayan. Sejauh mana Tan Sri lihat gaji serta elaun guru yang tinggi dapat mampu membentuk guru-guru yang berkualiti?

MUHYIDDIN: Memang telah banyak sokongan telah diberikan kepada profesion perguruan bukan sahaja dari segi imbuhan malah pelbagai kemudahan telah disediakan. Namun yang masih kita perlukan adalah meningkatkan kecekapan profesion itu sendiri. Kalau kita lihat hari ini yang ingin kita tekankan adalah soal kualiti pendidikan. Ia bukan saja terkandung dalam kurikulum yang kita sediakan, tetapi juga bagaimana pihak yang bertanggungjawab iaitu guru-guru menyampaikan kurikulum tersebut.

Dahulu kita dilihat hanya fokus kepada kecemerlangan dalam bidang akademik sahaja tetapi tuntutan semasa adalah proses pembelajaran membentuk peribadi dan perwatakan yang holistik di samping itu memenuhi tuntutan masa depan di mana tenaga modal insan kita mesti kreatif, inovatif selaras dengan Model Ekonomi Baru yang kita rancang. Sebab itu yang penting adalah kita terus beri latihan perguruan kepada guru-guru bukan setakat tertumpu kepada silibus tetapi untuk membolehkan pelajar kita lebih kreatif dan ada interaksi antara guru dan pelajar. Kadang-kadang dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran hanya ada satu track iaitu guru sebagai pendidik dan pelajar anak murid. Tiada interaksi dan kreativiti pun agak terbatas sebab itu sistem pendidikan kita dianggap fokus kepada kecemerlangan akademik. Kita tidak boleh nafikan akademik memang penting tetapi tidak kurang pentingnya adalah melahirkan masyarakat yang lebih kreatif dan di sini pentingnya bagaimana guru dapat memikul tugas itu.

Kita ada Standard Perguruan Malaysia yang dijadikan asas untuk melihat sejauh mana guru telah mencapai tahapnya. Jika sasaran belum tercapai maka kita mesti menyediakan ruang dan peluang latihan secara berterusan yang mampu mendatangkan hasil jangka pendek dan panjang.

Adakah kecemerlangan para pelajar menjadi kayu pengukur kepada kejayaan guru?

MUHYIDDIN: Ia mencerminkan sedemikian, ini kerana tidak mungkin pelajar cemerlang jika guru tidak cemerlang tetapi kecemerlangan pendidikan tidak boleh dilihat dari sudut akademik semata-mata. Kita mahu dalam proses pembelajaran, para pelajar didedahkan juga dengan nilai-nilai kepemimpinan misalnya, yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat maju. Ini hanya akan berlaku jika guru itu ada kepimpinan. Guru bukan setakat guru di dalam bilik darjah, mereka juga pemimpin dalam bilik darjah. Mereka boleh memimpin para pelajar dalam sistem moral, akhlak, kreativiti, daya usaha. Kesemua ini bergantung kepada guru sendiri. Sebab itu dalam sistem pendidikan kita, kita tekankan kokurikulum supaya pelajar dapat dinilai dari sudut sikap untuk menjadi kreatif dan ada semangat tambah nilai kepada usaha pelajar di samping kemahiran tambahan.

Masih ada trend kalangan graduan memilih bidang memilih bidang perguruan kerana tidak mendapat kerja dan bukannya kerana minat. Tidakkah trend ini sedikit sebanyak menjejaskan mutu profesion perguruan?

MUHYIDDIN: Mungkin ada, tetapi saya yakin sebahagian besar yang memohon untuk menjadi guru adalah kerana mereka berminat dan jumlah yang mohon juga besar dan ini terbukti ramai yang telah mendapat jawatan tersebut kekal sebagai guru. Mungkin ada kes di peringkat awal profesion perguruan bukan pilihan utama tetapi apabila sudah biasa dididik dan dibimbing dalam bidang perguruan minat semakin meningkat dan mereka meneruskan kerjaya dalam bidang perguruan. Bagi saya mustahak mereka yang mohon jadi guru adalah betul-betul kerana minat dalam bidang itu. Kita mahu mereka yang benar-benar dedikasi menjadikan guru sebagai profesion dan bukan sebagai pilihan terakhir. Ini kerana guru adalah profesion mulia yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Sebagai pembimbing dan pendidik guru sentiasa dipandang hormat oleh masyarakat. Jadi atas dasar itu mereka yang mahu berkhidmat sebagai guru mesti menjadi guru profesional. Guru bukan seperti penjawat awam yang lain kerana mereka adalah pembimbing, pembentuk akhlak dan sahsiah, jadi mereka mesti komited sebab itu kita perlukan guru yang benar-benar mementingkan profesion.

Adakah soal kesediaan guru untuk berkorban masa dan tenaga boleh disifatkan cabaran utama dalam profesion perguruan?

MUHYIDDIN: Itu satu daripada cabaran bukan keseluruhannya. Beban bukan faktor utama kerana saya tidak percaya semua guru berasa terbeban. Sebab itu saya mengadakan perbincangan misalnya dalam soal pekeliling yang dikeluarkan oleh kementerian untuk melaksanakan satu projek yang dihantar ke peringkat negeri. Tetapi di peringkat negeri, pengarahnya dia ada kreativiti yang difikirkan sesuai. Pengarah misalnya untuk penambahbaikan, menambah satu lagi tugas dalam pekeliling tersebut, maka jadilah dua perkara mesti dilaksanakan oleh guru-guru. Walaupun niatnya baik tetapi telah menjadi beban. Oleh itu tidak usah ditokok tambah, jadi kita nak pastikan ada pemantauan, jika kita keluarkan pekeliling perkara tertentu, ikut pekeliling itu, kalau ada idea baru di peringkat pengarah negeri ia tidak harus diberi kebebasan menokok kepada arahan sedia ada sehingga menjadi bebanan. Kementerian juga mesti beri arahan yang tepat dan apabila nak dilaksanakan di peringkat negeri, mesti dilaksanakan berdasarkan arahan.

Lebih 100,000 mohon jawatan guru

KUANTAN 15 Mei - Profesion perguruan dianggap antara kerjaya paling popular apabila Kementerian Pelajaran menerima lebih 100,000 permohonan kemasukan ke maktab-maktab perguruan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom bagaimanapun berkata, maktab-maktab perguruan sedia ada hanya mampu menampung kemasukan kira-kira 4,000 penuntut.

Katanya, kewujudan 27 institusi pendidikan dan universiti awam yang berupaya melahirkan guru berkualiti juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru yang mungkin berlaku di sesuatu tempat atau sekolah dengan kadar segera.

"Profesion guru memang cukup popular, lebih 100,000 orang memohon untuk memasuki maktab perguruan yang hanya boleh diisi lebih kurang 4,000 orang.

"Jadi, dari segi pemilihan bakal guru yang berkualiti tiada masalah, kita banyak pilihan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran Festival Hari Guru 2010 peringkat kebangsaan yang dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini.

Turut hadir, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, bagi melahirkan pendidik berkualiti, setiap bakal guru perlu melalui tiga tapisan iaitu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tidak kurang 2.75, lulus ujian bertulis dan temuduga.

"Jadi, kita akan mendapat guru yang berkualiti," katanya.

Mengenai penempatan di pedalaman, Alimuddin menjelaskan, masalah itu tidak timbul kerana setiap guru yang ditempatkan di kawasan itu diberi elaun sebanyak RM1,500.

Bagaimanapun katanya, pihak kementerian sentiasa memberi pertimbangan kepada guru yang memohon untuk dipindahkan atas faktor-faktor tertentu seperti kesihatan.

Mengenai masalah kekurangan guru di Pahang seperti dilaporkan baru-baru ini, beliau menjelaskan, perkara tersebut telah diatasi sepenuhnya.

Dasar MBMMBI tetap diteruskan tahun depan: Muhyiddin

2010/05/17

PUTRAJAYA: Kerajaan akan tetap meneruskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), yang dijangka bermula tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jika perubahan dilakukan, akan menimbulkan banyak masalah dan menunjukkan kerajaan tidak konsisten daripada segi dasar.
"Kita mahu ibu bapa memberi peluang kepada kementerian untuk melaksanakan dasar itu terutama daripada segi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris kerana itu antara perkara yang menjadi perhatian," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan sesetengah sekolah termasuk ibu bapa untuk meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Pada 25 November tahun lalu, Muhyiddin berkata, dasar MBMMBI akan mula dilaksanakan pada 2011, iaitu setahun lebih awal daripada yang dijadual.

Menerusi dasar itu, mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil selepas memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Kerajaan turut mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan mengumumkan pelbagai langkah transformasi untuk mengukuhkan bahasa Inggeris, seperti menambah jadual waktu pembelajaran bahasa tersebut termasuk pengambilan tenaga terlatih dalam bidang itu bagi membimbing pelajar atau tenaga pengajar.

"Cara pengajaran bahasa Inggeris juga akan disampaikan dengan cara lebih menyeronokkan. Kita telah pun membuat ujian dan kita lihat (hasilnya) amat baik," katanya.

Beliau berkata, buku teks Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia bagi tahun pertama pelaksanaan dasar itu juga telah siap.

Katanya, secara keseluruhan, persiapan bagi pelaksanaan program itu kini berada di peringkat akhir.

"Saya telah pun mempengerusikan mesyuarat tentang itu pada dua minggu lepas di mana kita sudah pun bersedia. Sekarang ini adalah di peringkat penyediaan buku-buku teks untuk tahun pertama yang kita telah umumkan," katanya. - Bernama

Warna Kehidupan: Hidupkan semula sesi ta'alim

Sumber : Berita Harian

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2010/05/13

HARI ini menyaksikan banyak gejala sosial yang merosakkan kehidupan anak dan remaja akibat kegagalan kepemimpinan keluarga mempamerkan contoh teladan yang baik di samping tidak banyak keluarga yang memastikan banyak masa perlu diluangkan untuk seisi keluarga demi membolehkan lahirnya keluarga bahagia.

Akibatnya isu keruntuhan moral golongan remaja yang membabitkan kes pembuangan bayi dan ibu bapa semakin galak berlaku, hatta dalam keluarga Melayu yang sepatutnya menunjukkan contoh terbaik memandangkan mereka mewarisi sikap berhemah bangsa Melayu dan beragama Islam.

Salah satu warisan berharga pada hari ini yang semakin kurang dipraktikkan dalam keluarga adalah sesi ta’alim di rumah yang bermaksud perkongsian ilmu antara ahli keluarga yang dulunya menjadi sebahagian daripada budaya kehidupan dalam berkeluarga.

Dalam budaya hidup Melayu dulu, ta'alim di rumah suatu perkara biasa kerana ia bukan saja dapat mempertemukan seluruh ahli keluarga, tetapi juga berlangsungnya sesi berkumpul pada waktu malam bagi membolehkan seluruh ahli keluarga mendalami al-Quran dengan ibu bapa sebagai penunjuk.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Puan Sri Dr Rohaty Mohd Majzub, berkata Islam meletakkan bapa sebagai pemimpin dan ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan mereka dalam jagaannya berada dalam keadaan baik serta mengikut landasan diredai Allah SWT.

“Justeru konsep ta’alim yang menggunakan pendekatan diplomasi penting kerana ia membabitkan usaha mendidik dan membimbing anak muda ke landasan betul agar remaja tahu hala tuju mencapai kejayaan dan mengelakkan kesan negatif dalam mengharungi perjalanan hidup yang penuh cabaran,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Bangi, baru-baru ini.

Baginya sesi ta’alim bukan saja membolehkan berlangsungnya pendidikan ibadah seperti mendidik ahli keluarga kepada pentingan bersolat, berpuasa dan ibadah lain, tetapi turut membuka peluang kepada ayah selaku ketua keluarga memainkan fungsi penting dalam pendidikan keluarga.
“Ayah memperoleh ilmu dan maklumat daripada kuliah atau ta'alim di masjid, bertanggungjawab menyampaikan ilmu yang diperoleh buat seisi keluarga di rumah.
Dengan ini, bukan saja anak-anak mendapat manfaat, bahkan ibu juga boleh dan seluruh isi keluarga dapat meluangkan masa bersama-sama,” ujarnya.

Sungguhpun demikian, pendekatan seperti itu baginya memerlukan usaha berterusan kerana kebanyakan ibu bapa zaman moden sibuk dengan tugas di pejabat dan meletakkan pendidikan anak mereka kepada guru sekolah sehingga ada kalanya generasi muda berasa mereka tidak lagi perlu meluangkan masa bersama-sama keluarga.

“Sama ada sedar atau tidak, sikap mengambil ringan terhadap masalah seperti ini menyebabkan institusi keluarga semakin teruk, walhal banyak pendekatan boleh digunakan untuk menyemarakkan semangat kekeluargaan seperti ditekankan masyarakat zaman dulu.

“Dari segi psikologi, perbincangan berunsur ilmiah di kalangan ahli keluarga menggunakan konsep ta’alim ini boleh mencetuskan keghairahan untuk melakukan sesuatu amal ibadat kerana ia sesuai dengan fitrah manusia yang mahu diganjari apabila melakukan sesuatu,” jelasnya.

Penulis blog, Muhammad Syukri Rosli pula menganggap ta'alim di rumah mampu memberi kesan kesan besar kepada keluarga Islam kerana pengisian seperti pembacaan al-Quran, perkongsian fadilat amal, ilmu ibadah dan doa serta pengkisahan Nabi adalah usaha jitu dalam mengakrabkan perhubungan sesebuah keluarga.

“Berdasarkan catatan sejarah, keluarga tradisional Melayu, dari kurun ke-15 hingga kurun ke-18, menggunakan kitab sirah terjemahan untuk dibacakan buat seisi keluarga. Antara kitab itu ialah Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Iskandar Dzulkarnain dan Hikayat Nabi Yusuf.

“Selain itu, dalam sesi ta'alim di rumah, anak kecil juga diajar mengenai doa untuk memohon perlindungan, meminta keredaan dan mengharapkan keberkatan terhadap sesuatu perkara yang dilakukan. Biasanya doa ini akan diperdengarkan kepada anak-anak secara berulang kali, sehingga anak mampu menghafaz serta mengamalkannya,” katanya yang dididik menggunakan konsep ta’alim.

Baginya konsep ta’alim sudah bertapak sejak zaman kedatangan Islam, tetapi atas nama kemajuan yang dipromosikan oleh orang Barat, nilai agama dan budaya yang diwarisi turun-temurun, terabai satu persatu sehingga menyebabkan masyarakat Islam di Malaysia terjerumus dalam perangkap gejala sosial yang serius.

“Masalah ini berlaku apabila ahli keluarga tidak lagi mempunyai banyak masa untuk bersama-sama, apatah lagi untuk melakukan sesi perkongsian ilmu dan pendapat. Saya berharap ibu bapa sedar sedar bahawa ta'alim di rumah, bukan saja mengikuti sunnah Baginda SAW, bahkan dirahmati oleh Allah SWT,” katanya

Dasar baru untuk guru diumum Ahad ini: Muhyiddin

2010/05/10

SIBU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata satu dasar baru yang lebih komprehensif untuk guru dijangka diumumkan di Kuantan pada Ahad ini sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata dasar itu mengandungi skim lebih baik untuk pengetua dan guru besar daripada segi kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain.

"Kementerian sedang menimbang untuk menambah baik dasar bagi guru yang mengajar di pedalaman yang kini menerima elaun kesusahan RM1,500 sebulan disebabkan kos pengangkutan yang tinggi," katanya pada majlis dialog dengan guru dan anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Menengah Sacred Heart di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, satu kajian perlu dilakukan berhubung keperluan guru di pinggir bandar kerana ia juga harus mengambil kira pembangunan infrastruktur 10,000 sekolah di seluruh negara termasuk 1,500 di Sarawak.

Mengenai pengambilan ke maktab perguruan, beliau berkata kerajaan mungkin menimbang mengambil penduduk tempatan di kawasan yang amat memerlukan tenaga guru di Sarawak dan Sabah bagi mengurangkan masalah penempatan guru dan kos pengangkutan.

Sambil mengingatkan semua guru supaya berkhidmat dengan penuh dedikasi, Muhyiddin berkata kementerian tidak mengamalkan diskriminasi dalam penempatan guru berkelayakan dan berkemahiran di Sarawak, Sabah atau di Semenanjung Malaysia. - Bernama

Chelsea gondol juara Liga Perdana Inggeris

2010/05/10

LONDON: Chelsea meraih juara Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila melengkapkan perlawanan terakhir musim ini dengan kemenangan bergaya mengalahkan Wigan Athletic 8-0 di Stamford Bridge, malam tadi.

Didier Drogba menjaringkan hatrik, sekail gus menjadi penjaring terbanyak liga dengan 29 gol.

Nyata skuad bimbingan Carlo Ancelotti menepati ramalan awal mampu merebut tahta liga daripada juara bertahan Manchester United, yang menewaskan Stoke City 4-0 juga pada perlawaan terakhir mereka, malam tadi.

Kemenangan United itu tidak bermakna kerana mereka mengkehendaki Chelsea tewas atau sekurang-kurangnya seri dengan Wigan.

Nicolas Anelka pula memperoleh dua gol manakala Frank Lampard, Salomon Kalou dan Ashley Cole masing-masing menyumbat satu gol perlawanan berat sebelah apabila Wigan terpaksa bermain dengan 10 pemain.

Chelsea berjaya menyekat United untuk mencatat rekod kemenangan kejuaraan liga untuk kali ke-19.

Chelsea juga bakal mengondol satu lagi trofi apabila beraksi pada perlawanan final Piala FA bertemu Portsmouth, minggu depan.
"Ia sesuatu yang amat berat untuk melihat United menang kejuaraan liga setiap musim," kata kapten Chelsea, John Terry.

"Kini tiba giliran kami pula untuk mereka melihat kejayaan kami," katanya. - Reuters

dont Know....




hai....tak tahu nak tulis aper...sajer gedik bukak blog malam ni...tapi mata dah ngantuk..so aku rasa aku patut tido..jom tido..walaweh...hehehe...