Pages

Dasar MBMMBI tetap diteruskan tahun depan: Muhyiddin

2010/05/17

PUTRAJAYA: Kerajaan akan tetap meneruskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), yang dijangka bermula tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jika perubahan dilakukan, akan menimbulkan banyak masalah dan menunjukkan kerajaan tidak konsisten daripada segi dasar.
"Kita mahu ibu bapa memberi peluang kepada kementerian untuk melaksanakan dasar itu terutama daripada segi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris kerana itu antara perkara yang menjadi perhatian," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan sesetengah sekolah termasuk ibu bapa untuk meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Pada 25 November tahun lalu, Muhyiddin berkata, dasar MBMMBI akan mula dilaksanakan pada 2011, iaitu setahun lebih awal daripada yang dijadual.

Menerusi dasar itu, mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil selepas memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Kerajaan turut mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan mengumumkan pelbagai langkah transformasi untuk mengukuhkan bahasa Inggeris, seperti menambah jadual waktu pembelajaran bahasa tersebut termasuk pengambilan tenaga terlatih dalam bidang itu bagi membimbing pelajar atau tenaga pengajar.

"Cara pengajaran bahasa Inggeris juga akan disampaikan dengan cara lebih menyeronokkan. Kita telah pun membuat ujian dan kita lihat (hasilnya) amat baik," katanya.

Beliau berkata, buku teks Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia bagi tahun pertama pelaksanaan dasar itu juga telah siap.

Katanya, secara keseluruhan, persiapan bagi pelaksanaan program itu kini berada di peringkat akhir.

"Saya telah pun mempengerusikan mesyuarat tentang itu pada dua minggu lepas di mana kita sudah pun bersedia. Sekarang ini adalah di peringkat penyediaan buku-buku teks untuk tahun pertama yang kita telah umumkan," katanya. - Bernama

Warna Kehidupan: Hidupkan semula sesi ta'alim

Sumber : Berita Harian

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2010/05/13

HARI ini menyaksikan banyak gejala sosial yang merosakkan kehidupan anak dan remaja akibat kegagalan kepemimpinan keluarga mempamerkan contoh teladan yang baik di samping tidak banyak keluarga yang memastikan banyak masa perlu diluangkan untuk seisi keluarga demi membolehkan lahirnya keluarga bahagia.

Akibatnya isu keruntuhan moral golongan remaja yang membabitkan kes pembuangan bayi dan ibu bapa semakin galak berlaku, hatta dalam keluarga Melayu yang sepatutnya menunjukkan contoh terbaik memandangkan mereka mewarisi sikap berhemah bangsa Melayu dan beragama Islam.

Salah satu warisan berharga pada hari ini yang semakin kurang dipraktikkan dalam keluarga adalah sesi ta’alim di rumah yang bermaksud perkongsian ilmu antara ahli keluarga yang dulunya menjadi sebahagian daripada budaya kehidupan dalam berkeluarga.

Dalam budaya hidup Melayu dulu, ta'alim di rumah suatu perkara biasa kerana ia bukan saja dapat mempertemukan seluruh ahli keluarga, tetapi juga berlangsungnya sesi berkumpul pada waktu malam bagi membolehkan seluruh ahli keluarga mendalami al-Quran dengan ibu bapa sebagai penunjuk.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Puan Sri Dr Rohaty Mohd Majzub, berkata Islam meletakkan bapa sebagai pemimpin dan ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan mereka dalam jagaannya berada dalam keadaan baik serta mengikut landasan diredai Allah SWT.

“Justeru konsep ta’alim yang menggunakan pendekatan diplomasi penting kerana ia membabitkan usaha mendidik dan membimbing anak muda ke landasan betul agar remaja tahu hala tuju mencapai kejayaan dan mengelakkan kesan negatif dalam mengharungi perjalanan hidup yang penuh cabaran,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Bangi, baru-baru ini.

Baginya sesi ta’alim bukan saja membolehkan berlangsungnya pendidikan ibadah seperti mendidik ahli keluarga kepada pentingan bersolat, berpuasa dan ibadah lain, tetapi turut membuka peluang kepada ayah selaku ketua keluarga memainkan fungsi penting dalam pendidikan keluarga.
“Ayah memperoleh ilmu dan maklumat daripada kuliah atau ta'alim di masjid, bertanggungjawab menyampaikan ilmu yang diperoleh buat seisi keluarga di rumah.
Dengan ini, bukan saja anak-anak mendapat manfaat, bahkan ibu juga boleh dan seluruh isi keluarga dapat meluangkan masa bersama-sama,” ujarnya.

Sungguhpun demikian, pendekatan seperti itu baginya memerlukan usaha berterusan kerana kebanyakan ibu bapa zaman moden sibuk dengan tugas di pejabat dan meletakkan pendidikan anak mereka kepada guru sekolah sehingga ada kalanya generasi muda berasa mereka tidak lagi perlu meluangkan masa bersama-sama keluarga.

“Sama ada sedar atau tidak, sikap mengambil ringan terhadap masalah seperti ini menyebabkan institusi keluarga semakin teruk, walhal banyak pendekatan boleh digunakan untuk menyemarakkan semangat kekeluargaan seperti ditekankan masyarakat zaman dulu.

“Dari segi psikologi, perbincangan berunsur ilmiah di kalangan ahli keluarga menggunakan konsep ta’alim ini boleh mencetuskan keghairahan untuk melakukan sesuatu amal ibadat kerana ia sesuai dengan fitrah manusia yang mahu diganjari apabila melakukan sesuatu,” jelasnya.

Penulis blog, Muhammad Syukri Rosli pula menganggap ta'alim di rumah mampu memberi kesan kesan besar kepada keluarga Islam kerana pengisian seperti pembacaan al-Quran, perkongsian fadilat amal, ilmu ibadah dan doa serta pengkisahan Nabi adalah usaha jitu dalam mengakrabkan perhubungan sesebuah keluarga.

“Berdasarkan catatan sejarah, keluarga tradisional Melayu, dari kurun ke-15 hingga kurun ke-18, menggunakan kitab sirah terjemahan untuk dibacakan buat seisi keluarga. Antara kitab itu ialah Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Iskandar Dzulkarnain dan Hikayat Nabi Yusuf.

“Selain itu, dalam sesi ta'alim di rumah, anak kecil juga diajar mengenai doa untuk memohon perlindungan, meminta keredaan dan mengharapkan keberkatan terhadap sesuatu perkara yang dilakukan. Biasanya doa ini akan diperdengarkan kepada anak-anak secara berulang kali, sehingga anak mampu menghafaz serta mengamalkannya,” katanya yang dididik menggunakan konsep ta’alim.

Baginya konsep ta’alim sudah bertapak sejak zaman kedatangan Islam, tetapi atas nama kemajuan yang dipromosikan oleh orang Barat, nilai agama dan budaya yang diwarisi turun-temurun, terabai satu persatu sehingga menyebabkan masyarakat Islam di Malaysia terjerumus dalam perangkap gejala sosial yang serius.

“Masalah ini berlaku apabila ahli keluarga tidak lagi mempunyai banyak masa untuk bersama-sama, apatah lagi untuk melakukan sesi perkongsian ilmu dan pendapat. Saya berharap ibu bapa sedar sedar bahawa ta'alim di rumah, bukan saja mengikuti sunnah Baginda SAW, bahkan dirahmati oleh Allah SWT,” katanya

Dasar baru untuk guru diumum Ahad ini: Muhyiddin

2010/05/10

SIBU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata satu dasar baru yang lebih komprehensif untuk guru dijangka diumumkan di Kuantan pada Ahad ini sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata dasar itu mengandungi skim lebih baik untuk pengetua dan guru besar daripada segi kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain.

"Kementerian sedang menimbang untuk menambah baik dasar bagi guru yang mengajar di pedalaman yang kini menerima elaun kesusahan RM1,500 sebulan disebabkan kos pengangkutan yang tinggi," katanya pada majlis dialog dengan guru dan anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Menengah Sacred Heart di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, satu kajian perlu dilakukan berhubung keperluan guru di pinggir bandar kerana ia juga harus mengambil kira pembangunan infrastruktur 10,000 sekolah di seluruh negara termasuk 1,500 di Sarawak.

Mengenai pengambilan ke maktab perguruan, beliau berkata kerajaan mungkin menimbang mengambil penduduk tempatan di kawasan yang amat memerlukan tenaga guru di Sarawak dan Sabah bagi mengurangkan masalah penempatan guru dan kos pengangkutan.

Sambil mengingatkan semua guru supaya berkhidmat dengan penuh dedikasi, Muhyiddin berkata kementerian tidak mengamalkan diskriminasi dalam penempatan guru berkelayakan dan berkemahiran di Sarawak, Sabah atau di Semenanjung Malaysia. - Bernama

Chelsea gondol juara Liga Perdana Inggeris

2010/05/10

LONDON: Chelsea meraih juara Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila melengkapkan perlawanan terakhir musim ini dengan kemenangan bergaya mengalahkan Wigan Athletic 8-0 di Stamford Bridge, malam tadi.

Didier Drogba menjaringkan hatrik, sekail gus menjadi penjaring terbanyak liga dengan 29 gol.

Nyata skuad bimbingan Carlo Ancelotti menepati ramalan awal mampu merebut tahta liga daripada juara bertahan Manchester United, yang menewaskan Stoke City 4-0 juga pada perlawaan terakhir mereka, malam tadi.

Kemenangan United itu tidak bermakna kerana mereka mengkehendaki Chelsea tewas atau sekurang-kurangnya seri dengan Wigan.

Nicolas Anelka pula memperoleh dua gol manakala Frank Lampard, Salomon Kalou dan Ashley Cole masing-masing menyumbat satu gol perlawanan berat sebelah apabila Wigan terpaksa bermain dengan 10 pemain.

Chelsea berjaya menyekat United untuk mencatat rekod kemenangan kejuaraan liga untuk kali ke-19.

Chelsea juga bakal mengondol satu lagi trofi apabila beraksi pada perlawanan final Piala FA bertemu Portsmouth, minggu depan.
"Ia sesuatu yang amat berat untuk melihat United menang kejuaraan liga setiap musim," kata kapten Chelsea, John Terry.

"Kini tiba giliran kami pula untuk mereka melihat kejayaan kami," katanya. - Reuters

dont Know....




hai....tak tahu nak tulis aper...sajer gedik bukak blog malam ni...tapi mata dah ngantuk..so aku rasa aku patut tido..jom tido..walaweh...hehehe...