2010/05/17
PUTRAJAYA: Kerajaan akan tetap meneruskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), yang dijangka bermula tahun depan.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jika perubahan dilakukan, akan menimbulkan banyak masalah dan menunjukkan kerajaan tidak konsisten daripada segi dasar.
Pada 25 November tahun lalu, Muhyiddin berkata, dasar MBMMBI akan mula dilaksanakan pada 2011, iaitu setahun lebih awal daripada yang dijadual.
Menerusi dasar itu, mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil selepas memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Kerajaan turut mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan mengumumkan pelbagai langkah transformasi untuk mengukuhkan bahasa Inggeris, seperti menambah jadual waktu pembelajaran bahasa tersebut termasuk pengambilan tenaga terlatih dalam bidang itu bagi membimbing pelajar atau tenaga pengajar.
"Cara pengajaran bahasa Inggeris juga akan disampaikan dengan cara lebih menyeronokkan. Kita telah pun membuat ujian dan kita lihat (hasilnya) amat baik," katanya.
Beliau berkata, buku teks Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia bagi tahun pertama pelaksanaan dasar itu juga telah siap.
Katanya, secara keseluruhan, persiapan bagi pelaksanaan program itu kini berada di peringkat akhir.
"Saya telah pun mempengerusikan mesyuarat tentang itu pada dua minggu lepas di mana kita sudah pun bersedia. Sekarang ini adalah di peringkat penyediaan buku-buku teks untuk tahun pertama yang kita telah umumkan," katanya. - Bernama
0 comments:
Post a Comment