Pages

UKM: 40 tahun terus menuju kecemerlangan

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan satu-satunya universiti 'kebangsaan' di Malaysia yang mendokong aspirasi perjuangan rakyat iaitu memenuhi keperluan pendidikan orang Melayu dan pembangunan Bahasa Melayu.

Penubuhan UKM dimulakan apabila Abd. Kadir Adabi mencadangkan gagasan untuk menubuhkan sebuah universiti kebangsaan di Malaysia seawal tahun 1920-an lagi. Namun, bermula tahun 1940-an dan 1950-an, Persekutuan Kesatuan Guru Melayu Semenanjung telah memperjuangkannya secara terbuka dan aktif dengan mendesak agar Bahasa Melayu mendapat tempat sewajarnya di negara ini.

Pada tahun 1969, sebuah jawatankuasa penaja telah ditubuhkan dan menerbitkan sebuah laporan yang mengesyorkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Akhirnya, syor tersebut telah diterima dan menjadi garis panduan dalam penubuhan rasmi universiti ini pada 18 Mei 1970.

Kini, pada tanggal 18 Mei 2010 (semalam) maka genaplah 40 tahun UKM bertakhta di bumi Malaysia sebagai sebuah institusi pengajian tinggi terulung dan banyak berjasa kepada bangsa dan nusa.

Secara sedar atau tidak, UKM telah melahirkan pelbagai modal insan yang membanggakan, mencipta pelbagai penyelidikan yang mengubah Malaysia dan tidak kurang juga memberi pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Walaupun usia UKM menghampiri separuh abad, namun jika dinilai melalui usia manusia, jangka masa 40 tahun adalah permulaan kepada 'keremajaan kali kedua' bagi golongan dewasa. Dalam usia ini, lazimnya manusia akan mula mendapat nama, kedudukan dan semangat baru dalam hidup.

Begitu juga bagi UKM yang kini telah mula mencipta nama bukan sahaja di persada kebangsaan, namun di pentas global. Kedudukan UKM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam juga telah mula mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara.

Oleh sebab itulah, para jentera dan penggerak kekuatan UKM yang terdiri daripada pentadbiran, ahli akademik, para pelajar dan kumpulan sokongan telah memulakan semangat baru untuk memacu imej dan kejayaan yang lebih mantap dengan bersama sederap selangkah melalui motto Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan.

Bersempena ulang tahun ke-40 UKM, masyarakat harus kembali merenung akan sejarah kelahiran universiti ini yang merupakan peristiwa bersejarah bagi Malaysia.

Ini kerana ia dibina atas keringat dan pemikiran rakyat yang mempunyai visi tentang keperluan universiti ini dalam pembangunan Bahasa Melayu.

Kejayaan demi kejayaan UKM sejak dari awal penubuhannya sehingga saat ini membuktikan kejayaan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat pengajian tinggi dan antarabangsa tidak dapat disanggah oleh sesiapapun lagi. Selamat ulang tahun ke-40 universitiku tercinta.

0 comments: