Pages

Tiada kemudahan cabaran utama guru

2010/05/16

MENABUR bakti dan menyemai budi di pulau terpencil kadang kala membuatkan si pendidik seolah-olah tercabar dengan keadaan persekitaran yang serba kekurangan.

Dengan sekolah diperbuat daripada papan tanpa bekalan air bersih dan cuma bergantung kepada tenaga solar, Sekolah Kebangsaan (SK) Bait, di Pulau Bait, Semporna Sabah adalah satu daripada ratusan sekolah di kawasan terpencil di Negeri Di Bawah Bayu yang mencabar kekentalan semangat dan nurani guru.
Namun, bagi Penolong Kanan 1 SK Bait, Julhasa Hamzah, 54, kekurangan dari aspek fizikal sekolah bukanlah faktor yang melemahkan semangatnya untuk terus menabur budi mendidik 152 anak nelayan di pulau itu bagi memastikan mereka bukan setakat memiliki ilmu, malah mencapai kejayaan dalam akademik buat mengubah nasib keluarga pada masa depan. "Ada 18 guru di sekolah ini, termasuk Guru Besar, Abdul Morib Omar Ali. Empat daripada guru yang ada dari Semenanjung, manakala bakinya anak jati Sabah. Kami tidak pernah menjadikan kekurangan fizikal sekolah ini sebagai tembok yang menafikan usaha kami untuk membawa 152 murid keluar daripada belenggu kemiskinan keluarga mereka.

"Insya-Allah, kami akan terus berusaha meningkatkan pencapaian akademik mereka walaupun terpaksa menempuh perjalanan sukar setiap kali berulang alik dari jeti Tanjung Kapor ke sekolah," ujarnya.

Sekolah papan yang dibina pada 1954 itu menempatkan dua blok bangunan enam bilik darjah, bilik komputer dan bilik guru. Ia adalah gedung ilmu untuk murid dari Kampung Bait, Kampung Limau-limau, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Malantak yang kebanyakan bapa mereka bergantung rezeki kepada hasil laut.

Struktur sekolah yang serba kekurangan tidak menggoyah ketabahan jiwa Ustaz Mohd Sahurin Shahabudin, 33, yang berasal dari Kampung Sungai Layar, Sungai Petani Kedah untuk sentiasa reda dengan keadaan di pulau terpencil itu.
Sejak memulakan tugas di SK Bait pada 21 September 2000, Mohd Sahurin yang pada mulanya berasa terasing di perantauan dan terpaksa pula menempuh perjalanan sukar dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke jeti Kampung Bait, kini semakin sebati dengan kehidupan sedemikian.

"Saya akui memang pada mulanya saya tidak gembira apabila ditugaskan di sini sebaik saja menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu. Pertama kali menjejakkan kaki ke dalam perahu, berasa hidup ini amat pahit. Setiap kali dilambung ombak, lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh, seolah-olah mahu letak jawatan.

"Saya memohon Kementerian Pelajaran meluluskan permohonan perpindahan isteri saya yang juga guru dari Semenanjung ke Semporna. Saya bersyukur apabila isteri saya dipindahkan ke sebuah sekolah di pekan Semporna. Sekarang, saya lebih seronok mendidik anak nelayan di pulau ini. Bagaimanapun, satu hari nanti, saya akan berpindah ke Semenanjung juga," ujar bapa tiga orang anak itu.

Bagi Ahmad Shahrizal Mat Jamaluddin, 29, tempoh perkhidmatan yang baru berusia setahun setengah di SK Bait sejurus selepas menamatkan pengajian di IPG Perlis, membuatkan beliau memahami bahawa tugas sebagai pendidik bukan setakat harus berkorban tenaga dan fikiran, malah kasih sayang terhadap isteri yang terpaksa ditinggalkan di Kuala Lumpur.

"Mengajar di pulau terpencil ini terpaksa berkorban segala-galanya. Daripada bertarung dengan ombak, hinggalah kepada kasih sayang terhadap isteri di Semenanjung. Namun, mendidik anak nelayan di pulau ini mengajar saya betapa dalam hidup ini, kita harus berbakti sesama manusia.

"Selama setahun setengah di sini, segala kesukaran itu terpaksa saya telan dengan penuh sabar. Semoga pengorbanan kami mampu membawa kejayaan dalam hidup murid yang harus mengubah kemiskinan keluarga mereka dengan ilmu pada masa depan," ujar lelaki berasal dari Parit Buntar, Perak itu.

INFO: Sekolah Kebangsaan Bait
- Kira-kira 7 batu nautika dari jeti Kampung Tanjung Kapor, Semporna Sabah
- Dibina pada 1954
- Struktur diperbuat daripada papan
- Ada 18 guru, termasuk 4 dari Semenanjung
- 152 murid
- Tiada bekalan air bersih
- Bergantung kepada tenaga solar
- Kira-kira 12 kilometer jarak dari Kampung Tanjung Kapor ke pekan Semporna

Pulau Bait
- Satu daripada 49 pulau dalam kawasan DUN Sulabayan, Semporna Sabah
- Kira-kira 300 penduduk
- Bapa murid bekerja sebagai nelayan

0 comments: