Pages

Sistem pentaksiran berasaskan sekolah mungkin ganti peperiksaan awam: Muhyiddin

2010/06/23

KUALA LUMPUR: Sistem pentaksiran berasaskan sekolah mungkin akan digunakan untuk menggantikan sistem peperiksaan awam di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerusi sistem itu, Lembaga Peperiksaan akan menentukan bentuk soalan yang boleh dinilai oleh guru dan kemudian akan diukur pencapaiannya.

"Kita gantikan sistem peperiksaan awam kepada satu sistem pentaksiran berasaskan sekolah, ini belum dimaklumkan tetapi sudah dikaji dan didapati mungkin sesuai kerana ia diamalkan di banyak negara.

"Mungkin ia tidak banyak beza berbanding negara lain, pokoknya ia tidak menjejaskan soal pembelajaran iaitu cara guru mengajar dan murid belajar adalah sama, tetapi bagaimana kita hendak nilai, sama ada peperiksaan awam atau sistem penilaian," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) bagi kementeriannya persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan sesuatu dasar seperti cadangan kemungkinan supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.

"Ramai pakar kata sepatutnya dah lama buat, tetapi kenapa kita buat sekarang, kita dah lama buat kajian iaitu sejak 2007 lagi kementerian ada pasukan yang meneliti isu yang berbangkit," katanya.

Beliau berkata, langkah mengurangkan peperiksaan awam ini dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek perbelanjaan mengurus, penggunaan sumber manusia dan mengurang beban tugas guru untuk mengendalikan proses peperiksaan.
Mengenai rombakan sistem pendidikan Teknik, Vokasional dan Kemahiran untuk dijadikan pendidikan arus perdana, Muhyiddin berkata kerajaan akan menambah bilangan sekolah vokasional dengan bentuk kurikulum baru serta latihan yang jauh berbeza daripada apa yang ada sekarang khususnya berkaitan dengan bidang yang mempunyai hubung kait dengan negara pada masa kini.

"Saya sendiri pengerusikan mesyuarat di peringkat kementerian untuk meneliti semua perkara berkenaan rombakan besar kepada pendidikan vokasional, kurikulum, infrastruktur, kemudahan dan latihannya akan diumumkan untuk pengetahuan ahli Yang Berhormat dalam masa terdekat," katanya.

Berkenaan program Permata Negara yang akan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran, Muhyiddin berkata pada masa ini kementerian sedang melaksanakan pelbagai persiapan rapi khususnya daripada segi pengurusan dan pentadbiran program itu.

Beliau juga berkata, pada masa ini kementerian pada peringkat akhir melaksanakan auditan ke atas semua sekolah dan seterusnya akan menetapkan keutamaan berdasarkan kepada keperluan sesebuah sekolah.

"Dalam konteks ini, sekolah yang benar-benar memerlukan peruntukan akan diberi keutamaan dan pertimbangan yang sewajarnya. Soal lokasi atau jenis sekolah tidak timbul, semua sekolah akan diberi perhatian khusus supaya persekitaran dan pembelajaran yang kondusif dapat diwujudkan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, dalam menentukan senarai projek pembangunan dalam RMK-10, laporan audit tersebut akan diguna pakai sepenuhnya di mana penetapan pembinaan sekolah baru atau penambahbaikan berdasarkan kepada keperluan, bukan berasaskan desakan mana-mana pihak.

"Selain itu, saya juga telah mengarahkan kepada kementerian supaya membuat penilaian yang telus dalam pemberian bantuan kepada murid yang benar-benar layak menerimanya.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak khusus di bawah kementerian saya yang tidak amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata secara keseluruhannya, sebanyak RM26.093 bilion telah diperuntukkan kepada kementerian dengan jumlah 15,324 projek termasuk tambahan 808 projek di bawah Pakej Ransangan Ekonomi.

"Sehingga 15 Jun lalu, sebanyak 8,870 projek telah berjaya disiapkan, 5,312 projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan manakala 942 projek akan bersambung ke RMK-10," katanya.

Bagi prestasi perbelanjaan pula, Muhyiddin berkata sehingga 31 Mei lalu, kementerian telah membelanjakan sebanyak RM16.668 bilion iaitu 85.12 peratus daripada keseluruhan siling yang ditetapkan, dan dijangka akan dapat membelanjakan keseluruhan peruntukan tersebut menjelang akhir tahun ini.

Bermulanya Karier Baru

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.....

Semalam 21hb Jun 2010, hari pertama persekolahan untuk penggal kedua tahun 2010...Tarikh dimana aku dapat mengajar subjek pilihan ku... Dapat ajar Sains...Syok ooooo...Moga dapat ngajar sains selama2nya....Takper la...asal ada kaitan dengan sains jer walaupun aku masih menaruh harapan untuk mengajar Biologi dan Kimia sesuai dengan bidang yang aku amik di UKM dahulu..huhuhuhuhu....

Sebelum ni awal tahun aku diberi tugas untuk mengajar KHB untuk pelajar lelaki...rasa nak menangis ajer...tak reti lorl....huhuhuhuhu...tambah lak dengan ajar PJK form 2..pastu 3hb 5 aku ajar KHB sepenuh masa...Apabila dapat tahu yang Puan Zuriyana iaitu guru yang mengajar Sains kena tukar ke Penang mengikut suaminya, Kak Cah (Sharifah Narisah) membantu aku dan memberitahu Puan Nor (PK Pentadbiran) agar akuy dapat menggantikan Puan Zuriyana untuk mengajar Sains....So selepas cuti ni, bermula semalam, dapat la tugas baru yang sesuai dengan tugas aku...huhuhu..Alhamdulillah..Terima kasih kepada rakan-rakan yang menyokong aku dari belakang. So dapat la aku ngajar Sains Form 1 Berlian, 1 Nilam, 2 Delima dan 2 Intan..serta tambahan Sivik 1 Baiduri dan 1 Jed..huhuhuhuh..K sayonara KH and almost welcome to Science....InsyaAllah aku akan galas tugas ini dengan cemerlang..amin...

UlaNgaN iLmu....hehehe..(agar tidak lupa)

Alhamdulillah kelas malam ni berjalan dengan lancar untuk Chemistry Form 4 di Pusat Tuisyen Pakar Cawangan Pasir Hor. Ari ni aku revise kembali ke tajuk chapter 2 chemistry form 4. Yer lar, tak kan nak ajar Bab 8 kot. kat skolah, depa bab 5 belum tontu abis beljar dah. So, ari ni ngajar satu bab tuk setengah jam. lagi sejam wat latihan dan perbincangan. ala, bab 2 ni senang jer. bab 3 susah sket bagi pelajar coz banyak rumus kena ingat. So, jangan rungsing, cikgu akan pecahkan tajuk ni, ajar sket2.

Malam ni, ilmu baru ku dapat formula nak ingat sumbangan tokoh dalam penemuan struktur atom. Thanx Nani kerana berkongsi info berguna tersebut. Moga Allah mempermudahkan urusan pembelajaran nani. Serta rakan2 yang lain tak kira anda ni dari pusat tusyen yang lain. akronim yang dihasilkan adalah seperti di bawah.


Dari Tadi Ratna Baca Comic
Ayah Emak Pergi Supermarket Neutron


Kalau diterjemahkan:
D & A= Dalton jumpa Atom
T & E= Thompson jumpa Elektron
R & P= Rutherford jumpa Proton
B & S= Bohr jumpa Shell of Electron
C & N= Chadwick jumpa Neutron

So, harap, yang lain2 aka ingat formula ini. Dulu aku tak hafal, coz aku main pakai ingat jer benda ini. Huhuhuhu...semoga bertemu lagi. Bye.

UKM: 40 tahun terus menuju kecemerlangan

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan satu-satunya universiti 'kebangsaan' di Malaysia yang mendokong aspirasi perjuangan rakyat iaitu memenuhi keperluan pendidikan orang Melayu dan pembangunan Bahasa Melayu.

Penubuhan UKM dimulakan apabila Abd. Kadir Adabi mencadangkan gagasan untuk menubuhkan sebuah universiti kebangsaan di Malaysia seawal tahun 1920-an lagi. Namun, bermula tahun 1940-an dan 1950-an, Persekutuan Kesatuan Guru Melayu Semenanjung telah memperjuangkannya secara terbuka dan aktif dengan mendesak agar Bahasa Melayu mendapat tempat sewajarnya di negara ini.

Pada tahun 1969, sebuah jawatankuasa penaja telah ditubuhkan dan menerbitkan sebuah laporan yang mengesyorkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Akhirnya, syor tersebut telah diterima dan menjadi garis panduan dalam penubuhan rasmi universiti ini pada 18 Mei 1970.

Kini, pada tanggal 18 Mei 2010 (semalam) maka genaplah 40 tahun UKM bertakhta di bumi Malaysia sebagai sebuah institusi pengajian tinggi terulung dan banyak berjasa kepada bangsa dan nusa.

Secara sedar atau tidak, UKM telah melahirkan pelbagai modal insan yang membanggakan, mencipta pelbagai penyelidikan yang mengubah Malaysia dan tidak kurang juga memberi pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Walaupun usia UKM menghampiri separuh abad, namun jika dinilai melalui usia manusia, jangka masa 40 tahun adalah permulaan kepada 'keremajaan kali kedua' bagi golongan dewasa. Dalam usia ini, lazimnya manusia akan mula mendapat nama, kedudukan dan semangat baru dalam hidup.

Begitu juga bagi UKM yang kini telah mula mencipta nama bukan sahaja di persada kebangsaan, namun di pentas global. Kedudukan UKM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam juga telah mula mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara.

Oleh sebab itulah, para jentera dan penggerak kekuatan UKM yang terdiri daripada pentadbiran, ahli akademik, para pelajar dan kumpulan sokongan telah memulakan semangat baru untuk memacu imej dan kejayaan yang lebih mantap dengan bersama sederap selangkah melalui motto Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan.

Bersempena ulang tahun ke-40 UKM, masyarakat harus kembali merenung akan sejarah kelahiran universiti ini yang merupakan peristiwa bersejarah bagi Malaysia.

Ini kerana ia dibina atas keringat dan pemikiran rakyat yang mempunyai visi tentang keperluan universiti ini dalam pembangunan Bahasa Melayu.

Kejayaan demi kejayaan UKM sejak dari awal penubuhannya sehingga saat ini membuktikan kejayaan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat pengajian tinggi dan antarabangsa tidak dapat disanggah oleh sesiapapun lagi. Selamat ulang tahun ke-40 universitiku tercinta.

Tiada kemudahan cabaran utama guru

2010/05/16

MENABUR bakti dan menyemai budi di pulau terpencil kadang kala membuatkan si pendidik seolah-olah tercabar dengan keadaan persekitaran yang serba kekurangan.

Dengan sekolah diperbuat daripada papan tanpa bekalan air bersih dan cuma bergantung kepada tenaga solar, Sekolah Kebangsaan (SK) Bait, di Pulau Bait, Semporna Sabah adalah satu daripada ratusan sekolah di kawasan terpencil di Negeri Di Bawah Bayu yang mencabar kekentalan semangat dan nurani guru.
Namun, bagi Penolong Kanan 1 SK Bait, Julhasa Hamzah, 54, kekurangan dari aspek fizikal sekolah bukanlah faktor yang melemahkan semangatnya untuk terus menabur budi mendidik 152 anak nelayan di pulau itu bagi memastikan mereka bukan setakat memiliki ilmu, malah mencapai kejayaan dalam akademik buat mengubah nasib keluarga pada masa depan. "Ada 18 guru di sekolah ini, termasuk Guru Besar, Abdul Morib Omar Ali. Empat daripada guru yang ada dari Semenanjung, manakala bakinya anak jati Sabah. Kami tidak pernah menjadikan kekurangan fizikal sekolah ini sebagai tembok yang menafikan usaha kami untuk membawa 152 murid keluar daripada belenggu kemiskinan keluarga mereka.

"Insya-Allah, kami akan terus berusaha meningkatkan pencapaian akademik mereka walaupun terpaksa menempuh perjalanan sukar setiap kali berulang alik dari jeti Tanjung Kapor ke sekolah," ujarnya.

Sekolah papan yang dibina pada 1954 itu menempatkan dua blok bangunan enam bilik darjah, bilik komputer dan bilik guru. Ia adalah gedung ilmu untuk murid dari Kampung Bait, Kampung Limau-limau, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Malantak yang kebanyakan bapa mereka bergantung rezeki kepada hasil laut.

Struktur sekolah yang serba kekurangan tidak menggoyah ketabahan jiwa Ustaz Mohd Sahurin Shahabudin, 33, yang berasal dari Kampung Sungai Layar, Sungai Petani Kedah untuk sentiasa reda dengan keadaan di pulau terpencil itu.
Sejak memulakan tugas di SK Bait pada 21 September 2000, Mohd Sahurin yang pada mulanya berasa terasing di perantauan dan terpaksa pula menempuh perjalanan sukar dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke jeti Kampung Bait, kini semakin sebati dengan kehidupan sedemikian.

"Saya akui memang pada mulanya saya tidak gembira apabila ditugaskan di sini sebaik saja menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu. Pertama kali menjejakkan kaki ke dalam perahu, berasa hidup ini amat pahit. Setiap kali dilambung ombak, lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh, seolah-olah mahu letak jawatan.

"Saya memohon Kementerian Pelajaran meluluskan permohonan perpindahan isteri saya yang juga guru dari Semenanjung ke Semporna. Saya bersyukur apabila isteri saya dipindahkan ke sebuah sekolah di pekan Semporna. Sekarang, saya lebih seronok mendidik anak nelayan di pulau ini. Bagaimanapun, satu hari nanti, saya akan berpindah ke Semenanjung juga," ujar bapa tiga orang anak itu.

Bagi Ahmad Shahrizal Mat Jamaluddin, 29, tempoh perkhidmatan yang baru berusia setahun setengah di SK Bait sejurus selepas menamatkan pengajian di IPG Perlis, membuatkan beliau memahami bahawa tugas sebagai pendidik bukan setakat harus berkorban tenaga dan fikiran, malah kasih sayang terhadap isteri yang terpaksa ditinggalkan di Kuala Lumpur.

"Mengajar di pulau terpencil ini terpaksa berkorban segala-galanya. Daripada bertarung dengan ombak, hinggalah kepada kasih sayang terhadap isteri di Semenanjung. Namun, mendidik anak nelayan di pulau ini mengajar saya betapa dalam hidup ini, kita harus berbakti sesama manusia.

"Selama setahun setengah di sini, segala kesukaran itu terpaksa saya telan dengan penuh sabar. Semoga pengorbanan kami mampu membawa kejayaan dalam hidup murid yang harus mengubah kemiskinan keluarga mereka dengan ilmu pada masa depan," ujar lelaki berasal dari Parit Buntar, Perak itu.

INFO: Sekolah Kebangsaan Bait
- Kira-kira 7 batu nautika dari jeti Kampung Tanjung Kapor, Semporna Sabah
- Dibina pada 1954
- Struktur diperbuat daripada papan
- Ada 18 guru, termasuk 4 dari Semenanjung
- 152 murid
- Tiada bekalan air bersih
- Bergantung kepada tenaga solar
- Kira-kira 12 kilometer jarak dari Kampung Tanjung Kapor ke pekan Semporna

Pulau Bait
- Satu daripada 49 pulau dalam kawasan DUN Sulabayan, Semporna Sabah
- Kira-kira 300 penduduk
- Bapa murid bekerja sebagai nelayan