DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus
Canselor UKM ke-3
UKM melakar satu lagi sejarah apabila Ke Bawah DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir diisytiharkan sebagai Canselor UKM yang ke-3 oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Pelantikan Baginda Tuanku Muhriz adalah untuk tempoh lima tahun bermula 16 April 2009. Watikah pelantikan tersebut telah dipersembahkan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor pada 26 Mei 2009 di Istana Hinggap, Seremban. Naib Canselor disertai Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Tan Sri Dato’ Paduka Dr. Mazlan Ahmad, Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Pegawai-pegawai Pengurusan Utama UKM.
Pertemuan antara DYMM Tuanku Canselor dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud dengan Pengurusan Utama UKM telah berlangsung dalam suasana amat mesra. Baginda Tuanku juga telah bertanya beberapa perkara utama berkaitan UKM.
DYMM Tuanku Muhriz dilahirkan di Kuala Pilah pada 1948. Pada tahun 1960, baginda dikurniakan Gelaran Pusaka YAM. Tunku Laxamana dan tahun berikutnya baginda menerima Gelaran Pusaka YAM. Tunku Besar Seri Menanti. Baginda menerima pendidikan asas di Kuala Pilah seterusnya di Sekolah King George V, Seremban dan di Aldenham School, Elstree, United Kingdom. Baginda memperoleh Ijazah LLB dari University of Wales, Aberystwyth.
Baginda memulakan kerjayanya dalam sektor perbankan, seterusnya dalam broker kewangan dan pengiklanan. Baginda turut terlibat dalam beberapa syarikat awam dan swasta sebagai Pengarah di samping menjadi Pengarah di sebuah bank. Antara penglibatan baginda dalam khidmat kemasyarakatan adalah menjadi anggota Board of Trustees of The Tinggi Foundation yang memberi biasiswa kepada pelajar Malaysia yang cemerlang di University of Nottingham of Malaysia dan Universiti Malaya selain pernah terlibat secara aktif dalam Rotary Club Kuala Lumpur. Sukan kegemaran baginda ialah skuasy. Baginda juga suka menonton perlawanan bola sepak English Premier League dan bermain gitar.
Hasil perkongsian hidup dengan Permaisuri DYMM Tuanku Aishah Rohani, baginda berdua dikurniakan tiga orang putera iaitu Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz dan Yang Amat Mulia Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin ibni Tuanku Muhriz.
Seluruh warga UKM merafak sembah mengucapkan TAHNIAH Ke Bawah DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Canselor UKM.
0 comments:
Post a Comment