Pages

Terhumban Celah Dua Eskalator



Kereta alami masalah enjin ditolak sebelum rempuh dinding kompleks

KOTA BHARU: Dua penuntut kejururawatan Kolej Masterskill meninggal dunia, manakala seorang rakan mereka cedera parah ditimpa sebuah kereta yang terjunam dari tempat letak kereta di tingkat tiga pusat beli-belah KB Mall, di sini, petang semalam.

Siti Nor Amira Shamsuddin, 19, dari Gua Musang, mati di tempat kejadian, manakala rakannya, Siti Nordiana Azman, 18, dari Wakaf Bharu, Tumpat, meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII). Kedua-dua mangsa yang menuntut di Kampus Metro Masterskill Kota Bharu itu cedera parah di kepala.

Rakan kolej mereka, Rashidah Ahmad Lotfi, 24, dari Jerteh, Terengganu dan pemandu kereta, Nor Ain Said, 19, yang cedera parah pada kepala dirawat di HRPZII. Adik Nor Ain, iaitu, Nor Atikah, 17, yang berada dalam kereta berkenaan tidak cedera, tetapi melarikan diri.

Kejadian jam 5 petang itu berlaku apabila kereta jenis Ford Laser itu merempuh dinding lubang angin di ruang meletak kereta di tingkat tiga lalu terjunam dan menimpa mangsa yang ketika itu berada atas eskalator di tingkat dua.


Ketua Polis daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, berkata Siti Nordiana tercampak ke tingkat bawah kompleks akibat ditimpa kereta berkenaan.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika seorang lelaki yang dikenali sebagai Sabri menolak kereta yang tidak boleh dihidupkan di ruang meletak kereta di atas bumbung kompleks itu.


"Nor Ain yang memandu kereta mungkin tidak dapat mengawal kenderaan apabila enjin berjaya dihidupkan lalu merempuh dinding lubang angin dan terhumban melalui celah dua eskalator serta terhempap di aras bawah.

"Sebelum terhempap, kereta berkenaan mungkin menimpa tiga pelajar kolej berkenaan yang berada atas eskalator, menyebabkan Siti Nordiana tercampak ke aras bawah. Siasatan awal mendapati Nor Atikah yang tidak cedera berjaya keluar dari kereta dan melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, lelaki yang dikenali sebagai Sabri, dipercayai kenalan mereka turut melarikan diri dan polis sedang mengesan mereka.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kelantan, Shahril Yusman Md Yusof, pula berkata siasatan awal mendapati kereta itu jatuh daripada ketinggian 20 meter.

"Kereta terbabit terbabas lalu memasuki siling di aras tiga sebelum terjatuh dan terbalik di celah tangga bergerak di aras bawah," katanya yang mengetuai enam anggota ke lokasi kejadian.

Seorang saksi, Mohd Jawaidi Moha Zain, 23, berkata ketika kejadian, beliau yang juga Penolong Pengurus Kyros Kebab, yang terletak bersebelahan eskalator sedang melayan pelanggan.

"Tiba-tiba, saya terdengar bunyi dentuman. Saya sangka ada kebakaran di tingkat atas, tetapi amat terkejut apabila sebuah kereta terjatuh dan terbalik di celah tangga bergerak depan premis saya.

"Kejadian menyebabkan orang ramai menjerit ketakutan. Saya meminta pelanggan menyelamatkan diri kerana bimbang kereta terbabit meletup dan terbakar," katanya yang kemudian menutup premis perniagaan itu.

Beliau juga mendakwa melihat seorang mangsa yang terbunuh terjatuh sehingga menyebabkan pelbagai barangan peribadinya bertaburan.

Berikutan kejadian itu, semua premis niaga di pusat beli-belah itu ditutup sementara bagi memudahkan kerja menyelamat dan membersihkan kesan kemalangan.



Struktur bangunan tidak kuat punca kereta terjunam


KOTA BHARU: Struktur tembok bangunan penghadang kenderaan di tempat letak kereta tingkat tiga bangunan pasaraya KB Mall yang tidak kukuh dipercayai punca kepada kereta yang dipandu seorang wanita terjunam ke dalam bangunan itu semalam.

Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner I Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata sekiranya tembok setinggi 1.8 meter itu dibina dengan bata dengan terdapat tetulang besi di dalam, mustahil boleh runtuh seperti berlaku semalam.

"Dinding itu dibina dengan bata setinggi 1.8 meter dan tidak terdapat besi di dalam bagi menguatkan dinding itu daripada mudah runtuh," katanya kepada pemberita pada majlis Berkhatan Beramai-ramai anak warga PDRM, Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.


Kerajaan Kelantan kaji semula tahap keselamatan setiap pasar raya


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengkaji semula tahap keselamatan bangunan di setiap pasaraya di negeri itu susulan kejadian di pasar raya KB Mall petang semalam apabila dua mangsa terkorban dihempap sebuah kereta yang terjatuh daripada tempat letak kereta di tingkat tiga bangunan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi memperhalusi dan membincangkan mengenai aspek keselamatan di setiap pasar raya.

"Pagi ini Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat ke tempat kejadian dan beliau telah mengarahkan pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) supaya mengadakan mesyuarat segera hari ini.


"Kita akan panggil jabatan berkaitan seperti polis, bomba, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak pengurusan pasaraya KB Mall pada mesyuarat itu bagi membincangkan langkah seterusnya selain akan mengkaji semula tahap keselamatan bangunan pasar raya di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian di sini hari ini.

Mangsa yang maut adalah Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, kedua-duanya dari Kolej Kejururawatan Masterskill Cawangan Kota Baharu manakala dua lagi yang parah iaitu rakan mereka Rashidah Ahmad Lutfi, 24, dan pemandu kereta Ford Laser TX3, Nor Ain Said, 19.

Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Nor Ain itu rosak dan ditolak rakan beliau yang dikenali sebagai Sabri dan hilang kawalan, merempuh tembok penghadang bumbung pasar raya itu lalu terjunam dan menghempap tiga pelajar berkenaan di tingkat bawah pasar raya berkenaan.

Takiyuddin berkata antara perkara yang akan dibincangkan di dalam mesyuarat terbabit ialah bagi mendapatkan gambaran jelas daripada pihak polis dan bomba bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah segera yang akan diambil oleh pihak pengurusan pasar raya.

"Kita akan bincang dan dapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kejadian itu. Kita percaya polis atau bomba sudah mengenalpasti puncanya melalui siasatan awal," katanya.

Sehingga pagi ini beliau berkata pasar raya itu masih ditutup kepada orang ramai bagaimanapun keputusan untuk membuka atau menutup pasar raya itu akan ditentukan di dalam mesyuarat terbabit.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz ketika ditemui selepas melawat tempat kejadian berkata kejadian itu adalah sesuatu yang tidak dijangka dan berlaku di luar dugaan.

"Benda ni berlaku payah nak fikir, semua kuasa Allah, berlaku dinding yang begitu tebal tiba-tiba boleh runtuh, daripada runtuh kena yang di luar dugaan kita dan juga engineer (jurutera) itu sendiri," katanya yang melawat kira-kira setengah jam.

Tinjauan mendapati orang ramai masih berpusu-pusu di luar pasaraya bagi melihat kejadian semalam selain menunggu arahan sama ada pasar raya itu ditutup atau dibuka untuk urus niaga hari ini. - Bernama


0 comments: